Untung bersih suku pertama Hartalega naik kepada RM70j

Business & Finance
5 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Untung bersih suku pertama Hartalega naik kepada RM70j

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) mencatatkan untung bersih berjumlah RM70 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM12.6 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun kewangan lalu.

Prestasi itu turut menyaksikan untung sebelum cukai meningkat kepada RM90 juta, manakala hasil kumpulan berkembang 10 peratus kepada RM606 juta.

Pada masa sama, Hartalega mencatatkan untung operasi sebanyak RM80 juta bagi suku tahun yang dilaporkan.

Hartalega dalam satu kenyataan, berkata pencapaian berkenaan didorong oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi selain pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif pengoptimuman kos di seluruh operasi kumpulan.

Inisiatif itu merangkumi pengurusan kos yang lebih teliti, peningkatan kecekapan pengeluaran serta pengurangan kos pengeluaran seunit bagi menangani kesan jumlah jualan yang lebih rendah dan tekanan harga dalam pasaran sarung tangan global yang kekal kompetitif.

Prestasi kewangan Hartalega turut disokong oleh pendapatan berkaitan pelaburan yang lebih tinggi serta tahap kerugian tukaran asing bersih yang jauh lebih rendah berbanding tempoh sama sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, prestasi suku pertama itu memberikan momentum lebih kukuh kepada syarikat selepas melalui beberapa suku tahun yang mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, syarikat terus memberi tumpuan kepada bidang utama termasuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengamalkan pengurusan kos secara berdisiplin serta mengembangkan operasi bagi merebut peluang jualan baharu di pasaran global.

“Walaupun industri sarung tangan global masih berdepan lebihan kapasiti secara struktur dan persaingan harga yang sengit, Hartalega yakin kekuatan sedia ada membolehkan syarikat kekal berdaya tahan,” katanya.

Mengulas prospek perniagaan, Mun Leong berkata, cabaran pasaran luar dijangka berterusan susulan perkembangan geopolitik semasa, perubahan dasar perdagangan dan turun naik kos bahan mentah yang terus mempengaruhi kadar pemulihan industri.

Beliau berkata, Hartalega menguruskan risiko itu menerusi perancangan pemerolehan yang proaktif, penggunaan kumpulan pembekal yang pelbagai, susun atur logistik yang fleksibel serta proses libat urus berterusan dengan pembekal dan pelanggan bagi memastikan kestabilan bekalan dan ketelusan.

“Syarikat juga akan meneruskan pelaburan dalam automasi dan teknologi selain memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan tenaga kerja bagi meningkatkan kelebihan daya saing syarikat,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu diyakini dapat mengukuhkan kedudukan Hartalega untuk merebut peluang baharu sambil mengharungi cabaran jangka pendek dalam industri.

Hartalega mula mengeluarkan sarung tangan getah premium sejak 1988 dan kini beroperasi di kilang pengeluaran serba canggih di Sepang, Selangor.

Sehingga 30 Jun 2026, kumpulan itu mempunyai kapasiti pengeluaran kira-kira 37 bilion keping sarung tangan setahun di NGC, Sepang.

Hartalega yang  disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada April 2008 itu merupakan antara pengeluar sarung tangan nitril terkemuka dunia dengan produk dieksport ke lebih 70 negara merangkumi Amerika, Asia, Eropah, Australia dan Afrika. – UTUSAN

The post Untung bersih suku pertama Hartalega naik kepada RM70j appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved