AMH, Amanah, DAPSY alu-alukan pemansuhan AUKU

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 10:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: AMH, Amanah, DAPSY alu-alukan pemansuhan AUKU

Woo Kah Leong kata pemansuhan AUKU kembalikan keadilan kepada mahasiswa; AMH, Amanah dan DAPSY sambut baik langkah Kerajaan MADANI tersebut.

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 disifatkan sebagai langkah bersejarah dalam mengembalikan autonomi kampus serta keadilan kepada gerakan mahasiswa seluruh negara.

Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH) Woo Kah Leong berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam membebaskan warga akademik daripada kekangan akta tersebut.

“Beliau sebagai seorang pemimpin mahasiswa, merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang mengumumkan untuk menghapuskan akta zalim dan lapuk yang menyekat kebebasan mahasiswa.

“Pemansuhan AUKU ni merupakan satu tindakan untuk mengembalikan keadilan kepada setiap seorang mangsa, mahasiswa yang pernah ditindas dan dizalimi di bawah AUKU,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Beliau berkata akta itu sebelum ini telah mengekang kebebasan bersuara dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar universiti.

Sehubungan itu, Woo mengumumkan penganjuran “Jelajah Kampus” oleh AMH di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi mengumpul pandangan serta input daripada mahasiswa secara menyeluruh.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Ammar Atan berkata langkah berkenaan berupaya membentuk sahsiah dan pemikiran autonomi anak muda tanpa sebarang tekanan politik.

“AUKU bukan sekadar hanya dimansuhkan untuk kepentingan politik tetapi kepentingan mahasiswa untuk membangun fikiran, dan yang paling penting ialah membangunkan autonomi dalam kalangan anak muda,” katanya.

Naib Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Raja Ahmad Iskandar Fareez pula menyifatkan pemansuhan akta itu sebagai titik permulaan kepada reformasi pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif.

“Ini bukanlah pengumuman yang bermaksud kita sudah sampai ke akhir perjalanan tetapi adalah titik permulaan perjalanan kita untuk memberi autonomi yang penuh kepada mahasiswa dan kampus-kampus di Malaysia sama ada kampus awam mahupun swasta”, katanya.

Beliau juga berkata DAPSY dan AMH akan mempertimbangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi memantau fasa peralihan pentadbiran universiti ke arah pelaksanaan autonomi kampus sepenuhnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved