KUALA LUMPUR - Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu disusuli dengan kerangka perundangan baharu yang menjamin kebebasan akademik, autonomi universiti, hak mahasiswa serta kebertanggungjawaban institusi.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, desakan agar pemansuhan AUKU dilaksanakan bukan isu baharu.
Menurut beliau, ia telah dilaungkan sejak sekian lama sebagai sebahagian daripada perjuangan mengembalikan kebebasan mahasiswa dan memperkukuh autonomi universiti.
“Ketika Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pada 2018, langkah penting telah diambil dengan memansuhkan Seksyen 15(2)(c) yang menyekat penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di kampus.
“Reformasi diteruskan di bawah Kerajaan MADANI menerusi pindaan AUKU pada 2024, yang antara lain memberikan lebih autonomi kepada badan mahasiswa dalam pengurusan kewangan serta menambah baik mekanisme tatatertib pelajar,” katanya.

Namun jelas Sivamalar, reformasi tidak boleh berhenti dengan pindaan demi pindaan kerana universiti harus menjadi medan ilmu, perbahasan dan pemikiran kritis.
“Mahasiswa yang berani bertanya, mengkritik dan berbeza pandangan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman.
“Kita tidak perlu takut kepada mahasiswa yang berani bersuara. Kita sepatutnya lebih bimbang apabila mahasiswa memilih untuk berdiam diri,” katanya.
Tegas beliau, sudah tiba masanya negara bergerak ke arah kerangka pendidikan tinggi yang lebih terbuka, progresif dan sesuai dengan tuntutan semasa.
“Sebab itu pengumuman Perdana Menteri bahawa AUKU akan dimansuhkan merupakan satu langkah besar.
“Bagi saya, mesejnya cukup jelas. Janji politik bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya.
“Apabila rakyat memberikan mandat, janji itu menjadi amanah untuk ditunaikan,” katanya.
Sivamalar menarik perhatian, masih banyak agenda Reformasi yang perlu disempurnakan dan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah satu lagi langkah penting ke arah menunaikan agenda tersebut.
“Pemansuhan AUKU bukan hadiah kepada mahasiswa.
“Ia adalah pengiktirafan terhadap hak mereka untuk berfikir, bersuara, berorganisasi dan mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara,” katanya. - Getaran, 15 Ogos 2026






