Pemansuhan AUKU jadi pemangkin reformasi pendidikan tinggi

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 12:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemansuhan AUKU jadi pemangkin reformasi pendidikan tinggi

PETALING JAYA: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu menjadi pemangkin kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh autonomi universiti dan kebebasan mahasiswa.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pemansuhan AUKU merupakan kemenangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa yang sejak puluhan tahun menuntut kampus lebih bebas, demokratik dan menghormati mahasiswa sebagai warga dewasa.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sekadar satu keputusan pentadbiran, sebaliknya perkembangan penting dalam perjuangan gerakan mahasiswa Malaysia.

“Sejarah gerakan mahasiswa negara tidak pernah terpisah daripada denyut perubahan masyarakat.

“Sejak kebangkitan mahasiswa pada penghujung 1960-an dan awal 1970-an, termasuk perjuangan mengangkat isu kemiskinan, ketidakadilan sosial dan nasib rakyat marhaen, mahasiswa telah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penghuni dewan kuliah.

“Mereka adalah sebahagian daripada hati nurani masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perjalanan gerakan mahasiswa turut menyaksikan ruang mereka semakin dibatasi melalui AUKU dan pelbagai sekatan terhadap kegiatan serta penglibatan dalam wacana awam.

Katanya, generasi demi generasi aktivis mahasiswa selepas itu terus membawa tuntutan supaya mahasiswa dibebaskan, kampus didemokrasikan dan universiti dikembalikan sebagai medan percambahan ilmu serta keberanian intelektual.

“Keputusan kerajaan untuk bergerak ke arah pemansuhan AUKU harus dilihat dalam konteks sejarah perjuangan yang panjang ini.

“Ia mengiktiraf bahawa mahasiswa tidak harus dibentuk melalui budaya takut dan kawalan berlebihan. Mahasiswa mesti diberikan kepercayaan untuk berfikir, berdebat, berbeza pandangan, mengkritik dan menawarkan penyelesaian kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, kebebasan universiti tidak bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab, sebaliknya universiti yang matang perlu mampu mengurus perbezaan pandangan melalui ilmu, hujah dan dialog.

Katanya, kampus tidak seharusnya melahirkan generasi yang sekadar menurut, sebaliknya generasi yang berani bertanya, mencabar kebiasaan dan mempertahankan kebenaran dengan penuh tanggungjawab.

AMK turut menyeru mahasiswa dan anak muda Malaysia supaya melihat perkembangan itu sebagai bukti bahawa reformasi memerlukan keberanian politik, kesabaran dan sokongan untuk diterjemahkan kepada perubahan sebenar.

“Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terus diberikan ruang dan dukungan untuk meneruskan agenda reformasi institusi yang telah lama diperjuangkan.

“Reformasi tidak selesai dengan satu pengumuman dan tidak terhenti dengan satu akta. Masih banyak pembaharuan yang perlu digerakkan, dan mahasiswa mesti menjadi antara tenaga terpenting yang mengawal, mendesak serta bersama-sama menjayakannya,” katanya. – UTUSAN

The post Pemansuhan AUKU jadi pemangkin reformasi pendidikan tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved