Aminuddin ajak semua calon PH bermunajat mohon keputusan terbaik

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 12:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aminuddin ajak semua calon PH bermunajat mohon keputusan terbaik
Aminuddin. Foto: Bernama

PORT DICKSON – Semua calon Pakatan Harapan (PH) yang beragama Islam diseru supaya terus bermunajat dan memohon pertolongan ALLAH SWT menjelang berakhirnya tempoh kempen pilihan raya.

Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha berkempen perlu disertai dengan doa dan penyerahan sepenuhnya kepada ketentuan ALLAH SWT.

Menurutnya, setiap calon dan jentera telah berusaha sedaya upaya untuk mendekati pengundi, namun keputusan akhir tetap berada dalam ketentuan-Nya.

“Jangan lupa kepada semua calon yang beragama Islam supaya terus bermunajat dan memohon kepada Allah agar diberikan keputusan terbaik kepada Pakatan Harapan.

“Kita serahkan kepada ALLAH SWT. Kita telah berusaha dan berkempen, tetapi akhirnya Allah yang menentukan keputusan,” katanya ketika ditemui pada program Linggi Bermunajat di Dewan Orang Ramai Linggi di sini pada Khamis.

Aminuddin berkata, program berkenaan diadakan sebagai wadah menghimpunkan calon dan masyarakat untuk bersama-sama berdoa memohon kelancaran serta keputusan terbaik.

Katanya, keyakinan PH untuk mencatatkan keputusan positif semakin bertambah berdasarkan penerimaan masyarakat sepanjang tempoh kempen.

“Keyakinan kita semakin bertambah baik. Kami yakin, insya-ALLAH, dengan bantuan ALLAH SWT, kita mampu memperoleh kemenangan sekali lagi.

“Namun, sekiranya keputusan yang diterima adalah sebaliknya, kita tetap reda kerana itu merupakan ketentuan ALLAH,” katanya.

Beliau berkata, baki masa itu akan dimanfaatkan dengan mempergiatkan kempen menerusi media sosial, selain meneruskan pertemuan secara langsung bersama masyarakat.

“Pada peringkat akhir ini, kita akan memberikan lebih tumpuan kepada kempen melalui media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, program Linggi Bermunajat turut diisi dengan tazkirah dan kemudiannya program berkenaan diteruskan dengan aktiviti melibatkan golongan muda, termasuk pertandingan Mobile Legends dan pertemuan bersama masyarakat setempat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved