Asyraf Wajdi pertahan kenyataan isu MB, minta Aminuddin mohon maaf dahulu

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 6:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Asyraf Wajdi pertahan kenyataan isu MB, minta Aminuddin mohon maaf dahulu

SEREMBAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berhubung kenyataannya mengenai calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, beliau mendakwa Aminuddin perlu memohon maaf terlebih dahulu susulan tindakan setiausaha akhbarnya yang didakwa membuat jenaka dengan menobatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai Undang Kelima.

Menurut Asyraf, perkara itu lebih biadab kerana melibatkan institusi adat dan Raja yang dihormati rakyat Negeri Sembilan.

“Aspek yang lebih biadab adalah apabila institusi adat dan Raja dijadikan bahan jenaka.

“Kalau beliau suruh saya minta maaf, beliau sendiri perlu meminta maaf dahulu kerana perkara itu berkait rapat dengan institusi adat dan Raja yang sangat dimuliakan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti Peringkat Parlimen Rasah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin menyifatkan kenyataan Asyraf Wajdi bahawa Anthony Loke akan menjadi Menteri Besar sekiranya beliau tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi sebagai biadab.

Menurut Aminuddin, Asyraf Wajdi sebagai seorang pemimpin sepatutnya lebih bijaksana dan berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan khususnya membabitkan Institusi Diraja serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Menurut Asyraf Wajdi, kenyataannya sebelum ini dibuat sebagai menjawab pertanyaan media mengenai calon Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Katanya, beliau sekadar bergurau dengan bertanyakan siapakah calon Menteri Besar PH sekiranya Aminuddin tewas di DUN Linggi.

“Saya pun tahu syarat Menteri Besar Negeri Sembilan mestilah Melayu dan beragama Islam. Sindiran itu hanya untuk membalas dakwaan kononnya BN tidak mempunyai calon Menteri Besar, sedangkan kita mempunyai ramai calon yang layak,” katanya. – UTUSAN

The post Asyraf Wajdi pertahan kenyataan isu MB, minta Aminuddin mohon maaf dahulu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved