Aminuddin mahu rakyat Negeri Sembilan bersedia hadapi PRN

LocalPolitics
7 May 2026 • 1:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aminuddin mahu rakyat Negeri Sembilan bersedia hadapi PRN
Aminuddin

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan krisis politik yang berlaku di negeri itu satu pengajaran kepada semua pihak agar lebih tenang dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pilihan raya negeri (PRN).

Beliau tidak menafikan rasa terkilan dengan situasi berkenaan, namun menegaskan keutamaan kini adalah memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

“Ini adalah satu pengajaran supaya kita sentiasa tenang, sabar dan tidak gelabah. Dalam masa sama, saya mahu rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri.

“Perkara ini di luar kemampuan kita. Mereka masih tidak berpuas hati dan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan seolah-olah kita terpaksa menerimanya. Saya juga manusia biasa, rasa tercalar dan hiba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah perdana pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu.

Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Aminuddin, penyokong parti termasuk pengundi atas pagar perlu memperkukuh jentera parti komponen dalam PH bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN di Negeri Sembilan dan negeri lain.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat negeri itu yang terus memberi sokongan dan mendoakan kepimpinan beliau serta kerajaan negeri.

“Walaupun berdepan cabaran, Alhamdulillah pentadbiran negeri masih berjalan dengan baik dan teratur. Ini yang perlu diteruskan bagi memastikan kestabilan dan keyakinan pelabur kekal.

“Kita tidak mahu dalam tempoh singkat pelbagai perkara berlaku sehingga menjejaskan keyakinan pelabur, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah membantu rakyat termasuk mengurangkan kadar sewa di premis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan harga makanan ditawarkan pada kadar lebih rendah.

“Kita tidak mahu hanya bercakap soal politik, sebaliknya perlu memikirkan cara mengurangkan beban rakyat.

“Kita bimbang dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Itu yang perlu diberi perhatian, bukan hanya politik semata-mata,” katanya.

Beliau menegaskan akan terus bekerja memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang.

Mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor yang dilaporkan menolak kepimpinannya beliau berkata, pihaknya hanya menunggu penjelasan rasmi daripada pucuk pimpinan parti tersebut.

Mustapha pada Rabu memberitahu semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN di Negeri Sembilan kekal dengan pendirian menolak kepemimpinan Aminuddin sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, pihaknya menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di negeri itu seperti diputuskan Biro Politik UMNO dan Majlis Perundingan Pimpinan PH-UMNO.