Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal diterajui Aminuddin - Fahmi

LocalPolitics
6 May 2026 • 5:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal diterajui Aminuddin - Fahmi
Fahmi - FOTO: Bernama

KUALA LUMPUR - Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil pada Rabu berkata Kerajaan Perpaduan kekal mentadbir Negeri Sembilan dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu melibatkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan telah berjaya diurus serta diselesaikan dengan baik selepas pertemuan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Selasa. 

"Sebarang isu yang berbangkit selepas ini akan dirujuk kepada pimpinan utama berlandaskan perjanjian yang telah dimeterai antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama, Mohd Shukri Ishak dan Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia, Ashwad Ismail.

Pada Selasa, Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama politik di Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi PH dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.

Pada 27 April lepas, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO-BN mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Melaka, Johor mahupun Negeri Sembilan, Fahmi berkata tiada sebarang perbincangan berhubung mengenai isu berkenaan.

Ketua Penerangan PKR itu berkata spekulasi mengenai perkara tersebut adalah tidak benar.

Sebelum ini, media melaporkan DAP mengarahkan seluruh jentera parti bersiap siaga menghadapi kemungkinan PRN mengejut sekiranya Dewan Undangan Negeri di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dibubarkan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat parti yang turut membincangkan perkembangan kemelut politik di Negeri Sembilan. - Bernama