
Aminuddin Nafi Dakwaan Ambil Tanah Rakyat Untuk Pelabuhan Pintar Port Dickson
Kerajaan Negeri Sembilan menafikan dakwaan bahawa projek Pelabuhan Pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson akan melibatkan pengambilan tanah penduduk, termasuk kawasan kampung, tanah adat dan hutan simpan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan pembangunan pelabuhan itu akan dilaksanakan sepenuhnya di atas tanah milik Tanco Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Midports Holdings Sdn. Bhd., tanpa membabitkan pengambilan tanah lain.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook pagi tadi, beliau berkata dakwaan kononnya projek berkenaan memerlukan pengambilan kira-kira 566 hektar (1,400 ekar) tanah di beberapa kawasan adalah tidak berasas.
“Tiada satu kampung pun yang akan kita korbankan untuk menjalankan projek ini. Tidak ada pengambilan tanah dan tidak ada hutan simpan yang akan terkesan di Port Dickson.
“Mana ada tanah adat di Port Dickson, yang ada hanya di Kuala Pilah, Jelebu, Rembau dan Tampin,” katanya.
Menurut Aminuddin, tapak pembangunan pelabuhan itu melibatkan tanah milik Tanco Holdings Berhad seluas kira-kira 202 hektar (500 ekar) yang telah dikenal pasti untuk tujuan berkenaan.
Baca juga:Beliau berkata, projek bernilai RM3.4 bilion bagi fasa pertama itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Port Dickson, selain berpotensi mengangkat kawasan tersebut sebagai pusat perdagangan bebas cukai.
“Pembangunan ini akan menjadi pemangkin perubahan dan memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya di kawasan Linggi dan Pasir Panjang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aminuddin memberi jaminan bahawa kepentingan pemilik tanah, khususnya masyarakat Melayu, akan terus dipelihara sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
“Saya akan pastikan tanah-tanah orang Melayu tetap terjaga dan dijaga dengan baik. Kita tidak mahu masyarakat dikelirukan atau ditakut-takutkan dengan perkara yang tidak benar,” katanya.
Mengulas kebimbangan nelayan yang bergantung kepada Sungai Linggi sebagai sumber pendapatan, beliau berkata projek itu tidak melibatkan Kampung Tanjung Agas, Kampung Sungai Raya mahupun Sungai Linggi.
Katanya, kerajaan negeri komited memastikan kebajikan komuniti nelayan terus diberi perhatian sepanjang pembangunan tersebut.
Beliau turut menjelaskan kekeliruan yang timbul mungkin berpunca daripada satu lagi projek pelabuhan dikenali sebagai Kuala Linggi International Port (KLIP) yang terletak di sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.
Menurutnya, projek KLIP berada di bawah pentadbiran kerajaan Melaka dan tidak mempunyai kaitan dengan pembangunan Pelabuhan Pintar Midport di Port Dickson.
Terdahulu, pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan Pelabuhan Midport bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan maritim serantau.
Beliau berkata, pelabuhan berteknologi AI itu bukan sekadar projek infrastruktur baharu, malah merupakan pelaburan strategik yang mampu meningkatkan keupayaan negara memenuhi permintaan perdagangan global memandangkan Malaysia berada di laluan perkapalan paling sibuk di dunia iaitu Selat Melaka.






