AmInvest Research unjur KLK catat pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar sebanyak 8% pada FY23

Business & Finance
23 Jun 2023 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmInvest Research unjur KLK catat pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar sebanyak 8% pada FY23

diyana

23/06/2023 - 11:20

KUALA LUMPUR 23 Jun - AmInvest Research mengunjurkan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) catat pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (BTS) pada 8% dalam tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (FY23).

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan 60% daripada pengeluaran BTS kumpulan itu datang dari Indonesia dengan baki 40% dari Malaysia.

Walaupun hujan telah berkurangan di ladang kelapa sawit KLK di Indonesia dan Malaysia, firma tersebut berkata jumlah lembapan masih mencukupi, di samping kumpulan itu tidak lagi menghadapi masalah kekurangan buruh di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, AmInvest meningkatkan keuntungan bersih KLK bagi FY23 sebanyak 2% dengan mengambil kira pertumbuhan pengeluaran BTS yang lebih tinggi pada 8% berbanding 5% sebelumnya.

“Untuk FY24, keuntungan bersih KLK adalah lebih tinggi sebanyak 4% kerana kami telah mengandaikan peningkatan BTS sebanyak 3% berbanding 1% pada asalnya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, saranan dikekalkan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) dinaikkan kepada RM23.85 sesaham berbanding RM22.90 sebelumnya.

Di samping itu, firma itu berpendapat bahawa kos pengeluaran kilang KLK akan meningkat kepada RM2,200 setiap tan dalam FY23 daripada RM1,952 setiap tan pada FY22 berikutan kenaikan kos buruh dan baja pada 1HFY23 seperti yang dialami oleh peladang lain.

“Kos pengeluaran kilang kumpulan itu telah meningkat kepada RM2,300 setiap tan dalam separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) berbanding RM1,900 setiap tan dalam 1HFY22,” jelasnya.

Dari segi positif, firma itu berkata kos baja kumpulan itu pada 2HFY23 dijangka 20% hingga 30% lebih rendah daripada 1HFY23 dan ia dijangka mempercepatkan penggunaan bajanya di Indonesia pada 2HFY23 selepas mengalami sedikit kelewatan pada 1HFY23 disebabkan isu logistik.

Bagaimanapun, prospek bahagian oleokimia tidak menarik memandangkan permintaan lemah disebabkan kelembapan ekonomi global namun permintaan untuk produk tersebut daripada industri penjagaan kesihatan peribadi kekal berdaya tahan.

“Kami meramalkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pembuatan, terutamanya oleokimia, KLK akan jatuh sebanyak 25% kepada RM829 juta pada FY23, manakala margin EBIT dijangka sebanyak 3.5% berbanding 4.8% pada FY22 akibat harga dan jumlah jualan yang lebih rendah,” tambahnya.

Pada pukul 11:15 pagi ini, saham KLK didagangkan pada RM21.72, naik 4 sen atau 0.2% dengan modal pasaran bernilai RM23.5 bilion. - DagangNews.com