Kenanga Research unjur MyNews catat kerugian bersih RM8 juta bagi FY23 akibat kesukaran menghasilkan keuntungan

Business & Finance
21 Jun 2023 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenanga Research unjur MyNews catat kerugian bersih RM8 juta bagi FY23 akibat kesukaran menghasilkan keuntungan

diyana

21/06/2023 - 12:08

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kenanga Research menyemak semula unjuran pendapatan MyNews Holdings Bhd bagi FY23 kepada kerugian bersih RM8 juta berbanding pendapatan bersih RM3 juta sebelum ini berikutan kecekapan operasi mengambil masa atau sekurang-kurangnya tidak berlaku pada tahun kewangan 2023 (FY23).

Susulan taklimat pasca keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), firma penyelidikan itu masih berhati-hati terhadap persekitaran operasi namun kurang bimbang memandangkan usaha sedang dijalankan untuk menangani pelbagai isu.

Secara keseluruhannya, firma itu berkata usaha berterusan kumpulan itu adalah kawalan pembaziran dan kehilangan stok; inovasi dan penyelarasan unit penyimpanan stok (SKU); mengurangkan inventori hari dan penukaran; menambah baik logistik dan membuka lebih banyak kedai myNEWS SuperValue di kawasan kediaman.

“MyNews akan lebih menumpukan pada melancarkan kedai serbaneka kawasan kejiranan yang dikenali sebagai myNEWS SuperValue pada FY23 dan mengalihkan semula keutamaannya kepada kedai CU pada FY24, di mana ia sedang melaksanakan beberapa langkah untuk menambah baik operasi kedai CU,” katanya dalam nota hari ini.

Kenanga Research berkata kumpulan itu akan beri penekanan kepada pengembangan di pantai barat Semenanjung Malaysia untuk jangka sederhana.

Selain itu, sasaran penambahan 50 cawangan masih bertahan untuk FY23, di mana kumpulan itu merancang untuk menambah 17 kedai myNEWS SuperValue dan selebihnya untuk myNEWS dan CU, manakala bagi FY24, syarikat menyasarkan penambahan 70 hingga 100 kedai dengan lebih menekankan kepada kedai CU.

Menurut firma itu, kedai CU akan ditambah baik dengan menangani isu-isu dengan memperkenalkan portfolio SKU berpakej lebih seimbang yang terdiri daripada produk Korea dan tempatan, menawarkan latihan kepada kakitangannya dan meningkatkan usaha pengekalan kakitangan.

Sementara itu, firma itu berkata kadar penggunaan pusat pengeluaran makanan (FPC) masih pada 60% dengan rancangan untuk membawanya ke tahap 75% dengan meningkatkan jualan daripada kedai sedia ada dan tidak menambah bilangan kedai.

“Kos masih tinggi disebabkan kemasukan pekerja dalam 4QFY22 ditambah peningkatan kos utiliti kerana kemudahan tersebut memerlukan tahap suhu tertentu untuk mengekalkan kualiti makanan seperti yang ditekankan oleh rakan kongsi Jepunnya,” jelasnya.

Susulan unjuran kerugian tersebut, Kenanga Research mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 31 sen sesaham daripada 33 sen sebelumnya.

Pada waktu penulisan, saham MyNews kekal pada 46 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM313.8 juta. - DagangNews.com