AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Duopharma dengan FV RM1.59 sesaham

Business & FinanceStartup
4 Jul 2023 • 4:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Duopharma dengan FV RM1.59 sesaham

azan

04/07/2023 - 16:14

KUALA LUMPUR 4 Julai - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) mengekalkan saranan 'beli' terhadap Duopharma Biotech Berhad dengan harga wajar (FV) sebanyak RM1.95 sesaham.

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan FY23-FY25 seepas mengambil kira cadangan untuk memperoleh sedikit pegangan ekuiti dalam The Live Green Group (TLGG).

Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan bahawa kumpulan itu telah memeterai perjanjian dengan TLGG untuk pembelian 105,065 unit saham pilihan Siri A (atau 0.65% kepentingan ekuiti) untuk tunai AS$1 juta (RM4.7 juta) dan dijangka dimuktamadkan pada akhir separuh ketiga tahun ini.

"TLGG ialah syarikat teknologi makanan berasaskan Delaware yang diperbadankan pada Oktober 2019 dengan visi untuk mempercepatkan peralihan dunia ke tempat yang lebih sihat dan lebih mampan dengan membangunkan pangkalan data.

"Platform teknologi proprietari mereka, Charaka, boleh menganalisis dan menggantikan proses sintetik dengan penyelesaian tumbuhan sahaja.

"Dalam setahun, penilaian TLGG meningkat daripada AS$32 juta kepada AS$140 juta. Ini menunjukkan kredibiliti dan potensi pertumbuhan model perniagaan TLGG," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, rasional pemerolehan adalah untuk membolehkan Duopharma bekerjasama dengan TLGG pada masa hadapan dengan memanfaatkan Charaka dan kepakaran TLGG untuk meneroka penggunaan bahan tumbuhan sahaja.

Ia bagi menggantikan bahan haiwan, sintetik dan ultra-diproses dalam makanan berfungsi dan farmaseutikal sedia ada untuk memenuhi permintaan untuk produk kesihatan yang lebih mampan, serta pengguna yang mempunyai keperluan diet khas.

"Memandangkan tidak mungkin berlaku sebarang pertambahan pendapatan material, kami kekal neutral terhadap perkembangan ini seperti sekarang, sementara menunggu kejelasan daripada pihak pengurusan," katanya.- DagangNews.com