Maybank IB mula liputan ke atas saham ITMAX, saranan ‘beli’ dengan TP RM1.71 sesaham

Business & Finance
21 Jun 2023 • 1:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank IB mula liputan ke atas saham ITMAX, saranan ‘beli’ dengan TP RM1.71 sesaham

diyana

21/06/2023 - 13:10

KUALA LUMPUR 21 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) memulakan liputan ke atas saham ITMAX System Bhd dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM1.71 sesaham.

Firma penyelidikan itu berkata ITMAX mempunyai pendedahan khusus kepada industri pengawasan trafik dan rangkaian, serta penyelesaian bandar pintar di Malaysia.

Selain itu, syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 13 Disember 2022 itu mempunyai rekod prestasi yang panjang dalam menyediakan penyelesaian bandar pintar untuk kedua-dua agensi kerajaan dan pelanggan komersial serta memiliki aset dan infrastruktur rangkaian yang luas.

“Kelebihan daya saing kumpulan terletak pada aset dan infrastruktur rangkaiannya yang terdiri daripada 8,600 kamera video, 400km kabel gentian optik bawah tanah, dua modul sistem pengurusan trafik yang dipatenkan, membolehkannya menyampaikan penyelesaian sistem rangkaian komprehensif kepada pelanggan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam nota hari ini.

Menurut firma itu, penyelesaian kumpulan tersebut dikuasakan oleh keupayaan R&D dalaman yang kukuh dan kepakaran luas pengurusan serta boleh ditiru dengan mudah di negeri lain.

Maybank IB mengunjurkan kadar pertumbuhan hasil tahunan (CAGR) pendapatan tiga tahun yang kukuh sebanyak 27% untuk tahun kewangan 2022 hingga 2025 (FY22-25).

Firma itu berkata unjuran tersebut dipacu oleh buku pesanan tertunggak sebanyak RM601 juta pada akhir suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), yang dibina dengan variasi tempahan untuk kontrak rangkaian pengawasannya dengan DBKL, serta kontrak baharu bandar pintar daripada kerajaan persekutuan dan negeri.

“Kami mengunjurkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sihat sebanyak 66 hingga 68% pada FY23-FY25, dan pulangan ekuiti (ROE) yang menarik sebanyak 20 hingga 21%,” tambahnya.

Maybank IB berkata kontrak diraih ITMAX setakat ini juga memberikan jaminan kepada pendapatannya pada masa hadapan.

Pada waktu rehat, saham ITMAX kekal pada RM1.41 dengan modal pasaran RM1.4 bilion. - DagangNews.com