
GLASGOW – Judoka negara, Amir Daniel Abdul Majeed mengukir sejarah baharu apabila muncul atlet pertama Malaysia merangkul pingat emas dalam sukan judo di pentas Sukan Komanwel selepas menjuarai acara bawah 81 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, hari ini.
Kejayaan luar biasa itu lebih manis apabila Amir Daniel, 21, yang menghuni ranking ke-117 dunia, mengejutkan wakil Afrika Selatan yang berada di kedudukan ke-41 dunia, Timothy Meuwsen, menerusi kemenangan waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan akhir yang berlangsung selama empat minit di Scottish Event Campus (SEC).
Kemenangan tersebut bukan sahaja menghadiahkan pingat emas kelapan buat kontinjen negara di Glasgow, malah menamatkan penantian Malaysia untuk bergelar juara dalam acara judo di temasya Sukan Komanwel.
“Saya datang ke Glasgow dengan satu impian, iaitu membuktikan Malaysia mampu bersaing di pentas tertinggi judo. Pingat emas ini bukan hanya milik saya, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kami,” katanya
Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut memperbaiki pencapaiannya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila berjaya menukar pingat gangsa yang dimenangi dalam kategori bawah 73kg kepada pingat emas dalam kategori bawah 81kg.
Dalam saingan separuh akhir, Amir Daniel terlebih dahulu menewaskan wakil Australia, Keishin Ochi, menerusi kemenangan yuko hasil teknik utsuri-goshi sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final.
Kejayaan bersejarah itu meletakkan nama Amir Daniel sebagai atlet Malaysia pertama meraih pingat emas judo di Sukan Komanwel, sekali gus membuka lembaran baharu buat sukan berkenaan di negara ini.
The post Amir Daniel ‘king’ baharu judo Komanwel appeared first on MYBERITA.




![Sukan Komanwel 2026 [LIVE] RTM / Jadual Kontinjen Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2026/07/sukan-komanwel-2026-819x1024.jpeg)

