
PETALING JAYA: Kesilapan melakukan track stand melebihi had yang dibenarkan menjadi detik paling memeritkan buat ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri apabila impiannya untuk melangkah ke final acara pecut wanita Sukan Komanwel Glasgow 2026 akhirnya berkecai di Velodrom Sir Chris Hoy, semalam.
Pada aksi separuh akhir, Izzah terlebih dahulu mengejutkan pelumba England, Sophie Capewell sebelum kemenangan perlumbaan kedua dibatalkan susulan kesalahan track stand, sekali gus membuka laluan kepada pencabarnya itu mara ke final.
Track stand ialah teknik mengimbangi basikal dalam keadaan hampir pegun tanpa menurunkan kaki bagi mendapatkan posisi terbaik sebelum memecut, namun jika dilakukan melebihi had yang ditetapkan, pelumba boleh dikenakan tindakan oleh komisar.
Menurut Izzah, kesilapan itu menjadi pengajaran paling besar buatnya biarpun berjaya membuktikan kemampuan bersaing dengan pelumba bertaraf dunia.
“Saya berjaya buktikan yang saya sebenarnya mampu bersaing dengan pemenang pingat dan juga pelumba bertaraf Olimpik. Ini antara detik terbesar dalam karier saya apabila berjaya menembusi kelompok empat terbaik.
“Cuma pada perlumbaan kedua saya melakukan sedikit kesilapan apabila melakukan track stand melebihi had yang dibenarkan sehingga perlumbaan terpaksa diulang dan akhirnya saya gagal ke final. Itu menjadi satu pengajaran yang sangat besar buat saya,” katanya.
Pelumba berusia 22 tahun itu bagaimanapun tetap mencuri perhatian apabila bangkit daripada catatan masa ke-11 pada pusingan kelayakan sebelum mara sehingga kelompok empat terbaik, sekali gus memperbaiki pencapaiannya selepas sekadar menghuni tangga ke-22 pada edisi Birmingham 2022.
Dalam pada itu, Izzah mengakui kekecewaan tetap dirasai kerana hanya selangkah lagi untuk menghadiahkan pingat buat negara, namun memilih untuk menjadikan pengalaman pahit itu sebagai pembakar semangat menghadapi cabaran selepas ini.
“Memang saya kecewa sebab kami sudah berada begitu hampir dan hanya selangkah lagi untuk mendapatkan pingat. Impaknya memang besar kepada saya, tetapi saya anggap ini sebagai satu pengajaran dan sekarang saya perlu bangkit untuk acara seterusnya.
“Saya juga dapat buktikan bahawa walaupun saya hanya mencatat masa ke-11 dalam pusingan kelayakan, saya masih mampu mara sehingga kelompok empat terbaik,” katanya.
Seorang lagi wakil wanita negara Nur Alyssa Mohd Farid yang membuat penampilan sulung, menduduki tempat ke-15 pada pusingan kelayakan sebelum tersingkir pada pusingan berikutnya. – UTUSAN
The post Kesilapan lebur impian Nurul Izzah appeared first on Utusan Malaysia.



