SHAH ALAM - Pelawak, Mohammad Amirullah Azmi atau lebih dikenali dengan nama 'Amir Raja Lawak' dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon, Lando Zawawi menerusi hantaran terbaharu di Facebook beliau.
Lando berkata, Amir kini sedang menunggu giliran di unit rawatan rapi (ICU) untuk proses seterusnya, namun tidak memperincikan lokasi hospital berkenaan.
"Saya baharu saja mendapat keizinan daripada ibu Amir (Puan Nizan) untuk memohon sanak-saudara dan rakan-rakan yang mengenali saudara kita, Mohammad Amirullah Azmi supaya mendoakan agar beliau segera pulih dan kembali sihat.
"Kini beliau sedang menunggu giliran di ICU untuk proses seterusnya. Maaf tak sanggup cakap tapi beliau terkena jangkitan paru-paru.
"Asma memang daripada kecil. Semoga ALLAH SWT masih beri peluang kita bersamanya," katanya pada Selasa.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) itu turut mengingatkan orang ramai yang masih berhutang dengan Amir agar melunaskannya secepat mungkin.
"Sekadar peringatan buat pihak yang masih berhutang pada dia, eloklah selesaikan atau mohon maaf padanya," ujar Lando.
Amir, 37, memulakan kariernya sebagai pelawak menerusi pertandingan mencungkil bakat, Raja Lawak musim ke-3 pada 2009 sebaris kumpulan Sepah dan Jihan Muse.
Ketika itu, beliau memenangi tempat ketiga.
Selain mencipta nama dalam dunia hiburan, anak jati Kota Bharu itu kini aktif mengusahakan perniagaan sendiri bagi memastikan kelangsungan pendapatan.
Antaranya perniagaan ayam goreng rangup APFC di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, jualan air jagung, baju terpakai dan sebagainya.





