MUDA angkat agenda memarhaenkan Malaysia

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 11:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amira Aisya (tengah) ketika sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Parti Muda 2025 dan Pemilihan Parti Muda 2026/2029 di Bangunan Peladang, di sini, pada Sabtu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

PETALING JAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggariskan visi memarhaenkan Malaysia sebagai teras perjuangan parti dalam usaha memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan dalam dasar dan pentadbiran negara.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pendekatan tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi, perumahan dan reformasi institusi dengan matlamat memastikan keadilan sosial dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Katanya, antara fokus utama yang diketengahkan termasuklah memastikan tiada lagi anak-anak tercicir daripada sistem pendidikan selain memastikan golongan muda memperoleh gaji bermaruah.

"Daripada aspek ekonomi, kita hendak pastikan orang muda dapat gaji bermaruah. Kita hendak pastikan tidak kiralah ibu tunggal, ayah tunggal ataupun sesiapa sahaja pun bila mereka nak cari kerja dia ada kerja.

"Kita hendak pastikan bila mereka hendak beli rumah mereka mampu beli rumah. Kita hendak pastikan dan desak kerajaan untuk bina lebih banyak rumah mampu milik. Rumah ada sekarang mampu tengok sahaja," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Parti Muda 2025 dan Pemilihan Parti Muda 2026/2029 di Bangunan Peladang, di sini, pada Sabtu.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan; Pengerusi PSM Perak, Bawani KS dan bekas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Dalam masa sama, kongsi Amira Aisya, golongan M40 yang sering dianggap golongan berada sebenarnya antara yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

"Kita hendak pastikan golongan M40 juga diperjuangkan dalam semua arena-arena polisi," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kepentingan reformasi institusi bagi memastikan salah laku dan rasuah dapat dibanteras demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, wang rakyat yang diseleweng sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan kemudahan awam seperti hospital, bas awam dan sekolah.

"Ini semua duit rakyat. Kita hendak pastikan duit rakyat masuk balik ke poket rakyat dan bukan masuk ke poket kabinet," tegas beliau lagi.