MUDA bukan ‘Bangsar bubble’, tapi parti rakyat dari pelbagai latar belakang - Amira Aisya

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
mira Aisya (kanan) mengangkat tangan ketika mengikuti bacaan ikrar MUDA ketika Mesyuarat Agung Tahunan Parti Muda 2025 dan Pemilihan Parti Muda 2026/2029 di Bangunan Peladang, di sini, pada Sabtu. Foto: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bukanlah sebuah gerakan elit yang hanya diwakili golongan bandar atau kelompok tertentu seperti sering dilabelkan pihak tertentu sebagai 'Bangsar Bubble'.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata berkata, tanggapan tersebut tidak menggambarkan realiti sebenar ahli dan penyokong MUDA yang datang daripada pelbagai negeri serta latar belakang masyarakat di seluruh negara.

"Orang kata MUDA ini Bangsar Bubble. Walaupun orang kata kita dari Bangsar Bubble, kawan-kawan. Kita tahu kebenarannya. Kita tahu dari mana kita datang.

“Kita datang dari Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan Parti Muda 2025 dan Pemilihan Parti Muda 2026/2029 di Bangunan Peladang, di sini, pada Sabtu.

Amira Aisya berkata, ahli MUDA datang daripada pelbagai kawasan dari rumah-rumah flat, kawasan-kawasan setinggan sehinggalah rumah-rumah teres serta terdiri daripada rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

Beliau turut berkongsi latar belakang kehidupannya sebagai bukti bahawa perjuangan politik anak muda tidak hanya dimonopoli golongan berada.

"Saya bukan membesar di rumah banglo. Saya membesar di rumah setinggan," kongsinya.

Beliau memberitahu, dia dibesarkan oleh ibu tunggal yang bekerja dua kerja hanya untuk memberi makan kepada empat orang anak.

Tambah beliau, pengalaman hidup itu menjadi dorongan kepada golongan muda untuk terus memperjuangkan masa depan negara.

"Tapi, kita dapat buktikan kepada semua bahawa tidak kiralah dari pelosok mana pun, kalau orang muda cintakan negaranya, dia akan gadaikan segalanya untuk generasi kita dan generasi akan datang,” katanya.