Amirudin sudah temui Anwar, bincang kerjasama PH-BN di Melaka – Fahmi

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 10:34 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Amirudin sudah temui Anwar, bincang kerjasama PH-BN di Melaka – Fahmi

PUTRAJAYA: Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari difahamkan sudah bertemu Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, hari ini.

“Saya difahamkan mereka telah bertemu semalam tapi tidak dimaklumkan apa perbincangan.

“Memang ada (pertemuan) untuk pimpinan dalam masa sehari dua ini, ada banyak perjumpaan, mesyuarat, memang ada tapi sama ada itu antara topik, tidak dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Ditanya apa model kerjasama yang akan digunakan PH dalam menghadapi pilihan raya nanti, Fahmi berkata, Pengerusi PH sebelum ini sudah menggariskan keperluan untuk gabungan itu merangkul seluruh kekuatan yang ada.

“Pengerusi Pakatan Harapan sebut waktu Kongres PKR di Melaka Ahad minggu lalu, beliau memaklumkan bahawa kita perlu berusaha untuk bukan hanya mengambil semula ‘otai-otai’, orang-orang lama seperti Tian Chua, Dr Xavier (Jayakumar) dan ramai lagi, tapi juga kita perlu merangkul seluruh kekuatan.

“Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan,” katanya.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, jawatankuasa pilihan raya PH akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi PRN Melaka.

“Jawatankuasa itu dipimpin Amirudin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.

Saifuddin sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk bertemu Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama menjelang pilihan raya negeri berkenaan.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pula dilaporkan berkata, gabungan itu masih terbuka kepada rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi PRN Melaka, termasuk pertukaran kerusi, dengan syarat rundingan dilakukan secara jujur dan berlandaskan niat baik.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – UTUSAN 

The post Amirudin sudah temui Anwar, bincang kerjasama PH-BN di Melaka – Fahmi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved