
SEBAGAI mahasiswa yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi, saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan mengemukakan cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kepada Kabinet.
Namun, saya melihat perkara ini dengan berhati-hati. Kerajaan sebelum ini sudah beberapa kali meminda AUKU untuk melonggarkan sekatan, tetapi mahasiswa masih menuntut supaya akta tersebut dimansuhkan sepenuhnya. Persoalannya, mengapa?
Masalah AUKU bukan sekadar beberapa peruntukan yang perlu dipinda, tetapi berkait dengan asas dan sejarah pembentukannya.
Sebelum AUKU diperketatkan pada 1975, mahasiswa dan kesatuan pelajar mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak secara bebas serta terlibat dalam isu masyarakat.
Selepas peristiwa seperti Peristiwa Tasik Utara dan Demonstrasi Baling 1974, pindaan 1975 memperkukuh kawalan kerajaan terhadap kegiatan mahasiswa, termasuk melalui sekatan terhadap penglibatan politik dan kebebasan berpersatuan.
Sebab itu, pindaan secara berperingkat dilihat belum menyelesaikan masalah utama. Walaupun pindaan terkini memberi lebih ruang kepada organisasi mahasiswa, banyak keputusan masih bergantung kepada pihak universiti.
Isu seperti pengurusan kewangan organisasi pelajar, proses disiplin dan kuasa pentadbiran masih menimbulkan persoalan tentang autonomi mahasiswa serta keadilan dalam proses membuat keputusan.
Contohnya, Perkara 15D AUKU memberikan kuasa kepada pihak universiti untuk mengambil tindakan terhadap mahasiswa yang berdepan pertuduhan di luar kampus.
Peruntukan seperti ini menimbulkan persoalan tentang hak mahasiswa untuk melalui proses perundangan yang adil sebelum dikenakan tindakan oleh institusi.
Oleh itu, tuntutan untuk memansuhkan AUKU bukan semata-mata mahu menghapuskan satu akta lama. Mahasiswa mahu sebuah kerangka akta baharu yang berasaskan melindungi autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa.
Akta baharu perlu memberi pengiktirafan yang jelas kepada kesatuan mahasiswa, menyediakan mekanisme rayuan dan timbang tara yang lebih bebas, mengurangkan campur tangan politik dalam pentadbiran universiti serta menjamin kebebasan ahli akademik untuk menyuarakan pandangan profesional mereka.
Mahasiswa bukan meminta keistimewaan. Kita hanya mahu hak untuk bersuara, berpersatuan dan terlibat dalam kehidupan tanpa kawalan pentadbiran yang berlebihan.
Jika AUKU benar-benar mahu digantikan, kerajaan perlu memastikan akta baharu bukan sekadar perubahan nama, tetapi benar-benar membawa perubahan kepada hubungan antara universiti, kerajaan dan mahasiswa. – UTUSAN
LEO IKHAU
Mahasiswa
Johor
The post AUKU: Ambil kira pandangan mahasiswa appeared first on Utusan Malaysia.






