AMK yakin Anwar kekal PM penggal kedua

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 7:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AMK yakin Anwar kekal PM penggal kedua

MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memimpin negara sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.

Naib Ketua AMK, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, keyakinan itu bersandarkan kepimpinan Anwar dalam menerajui kerajaan ketika ini selain kemampuan PKR menawarkan khidmat terbaik kepada negara.

“Parti ini membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk terus ke hadapan. Inilah parti masa depan negara.

“Parti ini menjanjikan satu perkhidmatan yang terbaik untuk negara kita dan telah pun dibuktikan oleh Presiden kita, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menakhodai kerajaan pada hari ini dengan cemerlang, dengan gemilang, dengan hebat.

“Insya-Allah kita terus kekalkan kecemerlangan tersebut. Presiden Parti Keadilan Rakyat akan kekal memerintah, akan kekal menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua, Insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional AMK di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata, seluruh jentera parti perlu kembali ke akar umbi dan memperkukuh gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuk sekiranya berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, tujuh tekad yang digariskan Ketua AMK perlu dijadikan panduan untuk menggerakkan jentera dan memastikan parti kembali mencapai kemenangan.

“Keluar sahaja daripada ruangan ini, jangan kita leka, jangan kita lupa. Terus turun ke bawah, perkukuhkan saf, perhebatkan jentera kita, turun ke akar umbi.

“Kita pastikan panji ini sekali lagi kita pacak ke arah kemenangan untuk penggal yang kedua bagi menghadapi pilihan raya, kalau ada Pilihan Raya Negeri Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, parti tidak perlu terlalu gusar sekiranya terdapat individu yang memilih untuk meninggalkan perjuangan PKR.

Sebaliknya, katanya, tanggungjawab parti adalah melahirkan lebih ramai aktivis dan pejuang reformasi bagi memastikan perjuangan itu terus diwarisi generasi akan datang.

“Kalau ada yang cuba untuk meninggalkan perjuangan ini, tidak mengapa.

“Kalau kita kehilangan mereka yang cuba meninggalkan perjuangan ini, tugasan kita adalah untuk melahirkan ribuan lagi aktivis, pejuang reformasi untuk menyalakan obor ini berterusan sehingga puluhan tahun yang akan datang.

“Pada akhirnya kita perlu wariskan perjuangan ini bukan untuk kita, tetapi juga untuk generasi-generasi yang akan datang,” katanya.

Mohammed Taufiq turut menggariskan tiga perkara yang perlu diberi perhatian AMK iaitu bangkit dengan lebih kuat, memperluaskan sayap perjuangan ke kawasan bandar dan luar bandar serta memperkukuhkan saf parti.

“Kita bangkit lebih kuat. Tidak ada perjuangan yang mudah, tidak ada perjuangan yang boleh terhenti.

“Yang kedua, kita luaskan sayap perjuangan Angkatan Muda Keadilan kita, bukan sahaja di kawasan bandar, di kawasan luar bandar, di peringkat akar umbi.

“Dan yang paling penting, kita perkukuhkan saf kita sebab kita perjuangkan yang hak dan menentang yang batil,” katanya. – UTUSAN

The post AMK yakin Anwar kekal PM penggal kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved