AYER KEROH - Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau memilih untuk terus berjuang namun bukan secara terus dalam parti tapi menerusi laluan masyarakat Madani.
Nurul Izzah menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepadanya, terutama ketika berdepan saat yang mencabar.
“Terima kasih kepada semua anggota yang menghantar semangat, kata-kata yang menyejukkan hati walau dalam saat yang paling mencabar sekalipun.
“Kebaikan sebegitu saya percaya hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya. Semoga ALLAH SWT memberkati, melindungi parti keramat ini. Semoga ALLAH SWT memberkati dan melindungi Malaysia tanah air kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Jumaat.
Pada masa sama beliau turut menyampaikan pesanan kepada rakan-rakan seperjuangan dengan mengakui bahawa apa sahaja keputusan yang dibuat tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak.
“Bagi sesetengah orang, mereka tidak dapat menerima saya kalah pada 2022. Dan bagi sesetengah orang pula, mereka tidak dapat menerima saya menang pada 2025. Manakala bagi yang lain, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa saya meninggalkan jawatan pada 2026.
“Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi kita hanya boleh kekal jujur kepada diri sendiri,” katanya.






