
GEORGE TOWN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi satu-satunya nakhoda parti berkenaan sekali gus menolak persepsi bahawa wujud dua kepimpinan utama dalam parti itu.
Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti adalah jelas dalam menerajui PKR.
”Nahkoda kita adalah Perdana Menteri dan juga Presiden Parti. Saya fikir perkara itu sangat jelas dalam PKR. Di dalam PKR, kami hanya satu sahaja nahkoda iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menyatakan PKR tidak kuat jika mempunyai dua nakhoda selain berlaku pertelingkahan dalaman dalam parti.
Dalam pada itu, Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, beliau tidak melihat berlaku sebarang pergolakan dalam PKR ketika ini, sebaliknya barisan kepimpinan utama parti kekal kukuh.
Katanya, Konvensyen Nasional PKR yang berlangsung ketika ini menjadi platform untuk pimpinan mendengar pandangan serta keluhan daripada perwakilan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
”Ini adalah satu platform untuk pimpinan dengar keluhan dan kita kena faham tentang kelemahan kita. Kita akan bekerja keras untuk satu tahun akan datang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.
Beliau berkata, meskipun terdapat beberapa Ahli Parlimen yang meninggalkan PKR termasuk bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen perkara itu tidak menjejaskan kekuatan teras kepimpinan parti.
Katanya, tindakan segelintir pimpinan meninggalkan parti juga bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pergerakan mereka sudah lama diketahui.
”Parti telah bergerak ke depan, pasukan teras kekal utuh serta masih bekerja dengan baik dalam kepimpinan parti. Fokus parti kini adalah memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dan memperkukuh gerak kerja menghadapi PRU akan datang. – UTUSAN
The post Tiada pergaduhan, nakhoda PKR hanya Anwar Ibrahim appeared first on Utusan Malaysia.





