
PETALING JAYA: Anak angkat pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim, Umar Nail kini berada dalam keadaan kritikal selepas dilanggar sebuah lori ais di Wangsa Walk, semalam.
Rizalman berkata, kejadian berkenaan menyebabkan Umar berusia 27 tahun itu kini berada dalam keadaan kritikal selepas terperosok ke bawah lori sebelum digilis.
Katanya, Umar mengalami komplikasi membabitkan organ dalaman dan memerlukan perhatian serta pemantauan rapi daripada pasukan pakar.
“Saya tahu awak semua risaukan kami, tetapi buat masa ini biarlah saya selesaikan dahulu bahagian saya. Umar keluar sekejap selepas membantu memotong lobak.
“Ketika itu, dia sedang berjalan di laluan pejalan kaki di Wangsa Walk sebelum tiba-tiba bertembung dengan sebuah lori ais yang sedang mengundur.
“Umar terperosok ke bawah lori sebelum digilis selama beberapa saat. Akibat kejadian itu, terdapat sedikit komplikasi pada organ dalamannya.
“Ramai orang berada di lokasi kejadian dan banyak membantu. Ketika mula menerima berita itu, aku benar-benar tersepit antara dua amanah, iaitu anak dan urusan perniagaan kerana ketika itu aku sedang memasak nasi tomato,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.
Selain itu, beliau memaklumkan, keadaan Umar pada awalnya amat membimbangkan sehingga doktor terpaksa menjalankan pembedahan dengan segera.
Katanya, Allah mengatur beberapa kenalan orang kenamaan dan sangat penting (VVIP) beliau untuk membantu memudahkan urusan hospital, selain menerima doa daripada orang ramai.
“Allah aturkan beberapa kenalan VVIP aku untuk membantu memudahkan urusan hospital, di samping doa daripada hangpa semua. Pada awalnya, Umar sangat kritikal dan memerlukan pembedahan, tetapi kini dia berada di bawah pemantauan pakar.
“Saya pasti dia keluar semalam sebab mahu pergi tekan mesin juruwang automatik (ATM), kemudian mengeluarkan duit gaji bulanannya untuk disedekahkan kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rizalman turut menzahirkan rasa terharu terhadap orang ramai yang berada di lokasi kejadian kerana tampil memberikan bantuan ketika insiden berlaku.
“Saya turut menghargai segala bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak dalam melancarkan urusan rawatan Umar,” katanya. – UTUSAN
The post Anak angkat Rizalman kritikal digilis lori ais appeared first on Utusan Malaysia.





