
PETALING JAYA: Anak angkat kepada pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim iaitu Umar Nail dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat kemalangan di Wangsa Walk, semalam.
Rizalman Ibrahim, 54, berkata, insiden berlaku apabila anaknya bertembung dengan sebuah lori ais yang bergerak mengundur menyebabkannya terperosok ke bawah kenderaan berkenaan.
Katanya, Umar digilis selama beberapa saat sehingga menjejaskan organ dalamannya.
“Saya tahu kalian risaukan kami, tetapi buat masa ini biarlah saya selesaikan dahulu bahagian saya.
“Umar keluar sebentar semalam selepas tolong aku potong lopeh, dia berjalan di pejalan kaki di Wangsa Walk sebelum tiba-tiba bertembung dengan sebuah lori ais secara membelakangkan masing-masing.
“Umar masuk ke bawah lori dan digilis beberapa saat, jadi terdapat sedikit komplikasi pada organ dalaman,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Mengulas detik awal menerima khabar duka itu, Rizalman ketika itu sedang menyiapkan juadah nasi tomato untuk perniagaannya namun bersyukur kerana orang awam mahu menghulurkan bantuan memudahkan urusan anaknya.
“Orang ramai di lokasi kejadian banyak membantu. Saya berada dalam dilema antara dua amanah masa mula-mula dapat berita, iaitu anak dan muamalat perniagaan sebab saya sedang memasak nasi tomato.
“Allah aturkan semalam pihak kenalan-kenalan VVIP saya memudahkan urusan hospital berserta doa kalian sekalian. Mula-mula dia sangat kritikal dan memerlukan pembedahan, tetapi sekarang di bawah penyeliaan pakar,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rizalman percaya kehadiran Umar ke kawasan berkenaan adalah untuk mengeluarkan duit gajinya bagi tujuan bersedekah.
“Saya pasti dia keluar semalam sebab nak pergi ke ATM, keluarkan duit gaji bulanan dia untuk disedekahkan kepada saya,” katanya.
Untuk rekod, Umar Nail, 27, merupakan anak angkat pertama Rizalman yang dipelihara sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM). -UTUSAN
The post Anak angkat Rizalman kritikal digilis lori appeared first on Utusan Malaysia.





