KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bahawa dua anak lelaki bekas Menteri Kewangan itu tidak melarikan diri ke luar negara.
Sebaliknya peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid memberitahu, Muhammed Amir Zainuddin, 31, dan Muhammed Amin Zainuddin, 28, berada di United Kingdom (UK) bagi persiapan peperiksaan kelayakan peguam dan perakaunan.
Semasa membantah permohonan pendakwaan yang meminta waran tangkap dikeluarkan, peguam itu berkata, ahli perniagaan, Josephine Premla, 65, yang juga kenalan kepada keluarga Daim tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menerima rawatan di luar negara.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghubungi pihak pembelaan pada 13 Februari lalu, supaya meminta dua beradik itu hadir ke ibu pejabat bagi memberi keterangan sebagai saksi, keesokan hari.
Menurutnya, SPRM telah memberikan notis yang singkat kepada anak guamnya sehingga mereka tidak sempat untuk memberi maklum balas.
“Dua anak guam saya merupakan pelajar dan Josephine warga emas, jadi tiada sebab mereka mahu melarikan diri.
"Selain itu, kami tidak menerima sebarang makluman atau dokumen yang menyatakan mereka akan didakwa di mahkamah hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mengesahkan bahawa SPRM telah mengeluarkan notis pertama kepada dua anak lelaki bekas pemimpin kanan UMNO tersebut pada 13 Februari.
Selepas dimaklumkan mereka tidak dapat hadir pada tarikh tersebut, beliau berkata, SPRM membenarkan permohonan lanjutan masa dan memberikan tarikh lain kepada dua beradik berkenaan untuk hadir memberi keterangan.
Susulan itu katanya, peguam kemudian menghantar surat dengan menyatakan mereka tidak boleh hadir atas beberapa alasan lain antaranya masih berada di luar negara, mahu menguruskan rawatan ibu dan mahu menyambut Aidilfitri.
“SPRM kemudian memaklumkan tiada lagi permohonan penangguhan akan dilayan dan memberi lanjutan masa akhir pada 6 April.
“Dua hari sebelum tarikh itu, Muhammed Amir Zainuddin memaklumkan baru mendaftar kelas peperiksaan di London, sementara Muhammed Amin Zainuddin pula belum habis belajar di luar negara.
“Josephine hanya memaklumkan ketidakhadirannya pada Selasa," katanya.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Illi Marisqa Khalizan mengeluarkan waran tangkap kepada ketiga-tiga individu tersebut kerana gagal mematuhi notis SPRM bagi menjawab pertuduhan kes.
“Mahkamah berpendapat, ada sebab untuk mempercayai tiga penama itu melarikan diri biarpun mengetahui notis telah dikeluarkan,” katanya.
Selain itu beliau berkata, tiada dokumen sokongan mengaitkan alasan melanjutkan pelajaran di universiti luar negara atau bukti rawatan hospital dilampirkan kepada mahkamah.
Justeru mahkamah berpendapat, permohonan pihak pendakwaan sebagai bermerit dan waran tangkap bagi ketiga-tiga penama dibenarkan.
Susulan itu, Mahadi memaklumkan bahawa, pihak pendakwaan akan meneruskan permohonan untuk mendapatkan Notis Merah bagi membolehkan waran tangkap tersebut dilaksanakan di luar negara.
Muhammad Nizamuddin kemudiannya memohon supaya pelaksanaan waran tangkap itu ditangguhkan sementara permohonan untuk mengetepikan perintah berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi pada Rabu.
Katanya, kesan waran tangkap itu terlalu besar lebih-lebih lagi kepada dua anak guam yang berstatus penuntut universiti.
Selepas mendengar hujahan berhubung perkara berkenaan, mahkamah membenarkan penangguhkan sementara, pelaksanaan waran tangkap tersebut.
Pada Isnin, anak perempuan Daim iaitu Asnida hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.50 pagi bersama peguamnya sebelum diambil keterangan hampir lima jam, bermula 10 pagi.
Bagaimanapun, tiga lagi anak Allahyarham Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin tidak hadir untuk memberi keterangan seperti dijadualkan.
Difahamkan, mereka dipercayai masih berada di luar negara.
Pada pagi Selasa, anak perempuan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, membabitkan pegangan saham di lima syarikat, tiga tahun lalu.
