Zamri Vinoth bukan lari ke Thailand tapi urus perniagaan, nikah pasangan lain

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 11:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peguam yang mewakili Zamri Vinoth memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bahawa Penyelaras Himpunan GARAH itu ke Thailand pada 9 Mac lalu bukan mahu melarikan diri.

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Peguam yang mewakili Zamri Vinoth memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bahawa Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) itu ke Thailand pada 9 Mac lalu bukan mahu melarikan diri.

Sebaliknya Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, Zamri atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu meneruskan perjalanan ke negara jiran bagi urusan perniagaan.

Katanya, aktivis berusia 42 tahun itu kemudiannya memasuki tanah air semula pada 12 Mac iaitu selepas empat hari berada di luar negara.

"Anak guam tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki menghadapi pertuduhan sehingga dia dilarang ke luar negara.

"Ini bukan kali pertama dia ke Thailand, sebaliknya kerap keluar masuk sejak sembilan tahun lalu.

"Dia juga terlibat dalam menguruskan pernikahan pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan di luar negara, yang mana ia merupakan kerjasama baik antara Majlis Agama Islam Songkla, Thailand dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis," katanya.

Beliau berkata, proses keluar masuk Malaysia juga dibuat secara sah menggunakan pasport dan pas sempadan.

Justeru beliau berkata, tiada sebarang indikasi menunjukkan anak guam mahu melarikan diri bagi mengelak daripada menghadapi pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Sehari kemudian katanya, pihak polis mengeluarkan kenyataan media, anak guam meloloskan diri ke negara jiran. 

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Nordin Ismail mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Menurutnya, jumlah itu bersifat munasabah kerana terdapat kira-kira 100 laporan polis dibuat terhadap Zamri.

“Jumlah jaminan bukan satu kekangan kepada tertuduh, namun kami serahkan kepada budi bicara mahkamah," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham dan Nur Farhana Mohamad Poad.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 29 April depan.

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan Zamri dan aktivis, Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan diri ke Thailand.

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan dua individu terbabit giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa negara gajah putih itu.

Zamri kemudiannya menafikan dakwaan berkenaan susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan tindakan menghasut keganasan.

Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Zamri berkata, beliau juga sedia bertemu KPN bagi menjelaskan perkara tersebut.

Mengikut pertuduhan, aktivis itu didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam, yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam. 

Kenyataan tersebut dibuat di akaun Facebooknya ‘Zamri Vinoth’ pada jam 12.22 tengah hari pada 3 Februari lalu, kemudian dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Tunku Abdul Rahman, Dang Wangi di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.