
PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memberi jaminan untuk segera menyiasat kes seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipercayai cedera selepas dicubit, ditampar selain dihina guru ekoran tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam subjek Prinsip Perakaunan.
Fadhlina memberi jaminan itu sebagai memberi reaksi kepada hantaran dibuat waris pelajar berkenaan menerusi akaun Threads @nurfazilah_sam yang memohon Menteri Pendidikan mendengar rayuan dibuatnya.
“Saya minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) siasat segera,” katanya ringkas dalam hantaran di Threads hari ini.
Terdahulu, ibu pelajar berkenaan mendakwa anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti di Pulau Pinang telah ditampar berkali-kali dan dicubit hingga lebam oleh gurunya sendiri.
Susulan kejadian itu, kata wanita tersebut, anaknya telah hilang keyakinan diri selain menyatakan hasrat untuk tidak menduduki peperiksaan SPM yang dijadualkan pada minggu depan.
“Saya merayu kepada menteri dan Kementerian Pendidikan, tolong bantu anak saya mendapatkan keadilan. Saya seorang ibu yang menghantar anak ke sekolah untuk menuntut ilmu dan membina masa depan, bukannya untuk melihat dia pulang dengan kecederaan fizikal dan trauma emosi.
“Nama anak saya Dania Afrina. Anak saya bukan pelajar bermasalah. Anak saya merupakan pengawas sekolah yang tidak pernah mempunyai masalah disiplin sepanjang persekolahannya,” katanya.
Namun sejak beberapa bulan lalu, katanya, anaknya telah diperlekehkan oleh guru Prinsip Perakaunan kerana tidak memperoleh markah yang baik dalam subjek tersebut.
“Sebenarnya, Dania pernah menyuarakan hasrat untuk menggugurkan subjek Prinsip Perakaunan kerana merasakan dirinya tidak mampu menguasainya.
“Namun, atas nasihat dan dorongan guru dan saya sendiri,dia memilih untuk terus berusaha. Malangnya, usaha anak saya tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan,” katanya.
Wanita itu turut mempersoalkan adakah tidak memperoleh markah baik dalam sesuatu subjek merupakan satu kesalahan sehingga seorang pelajar layak dihina, dimalukan, ditampar berkali-kali dan dicubit sehingga lebam.
“Sejak beberapa bulan lalu, anak saya didakwa sering diperlekehkan oleh guru berkenaan, termasuk di hadapan pelajar kelas lain. Sampai hati seorang guru memperlakukan anak saya begitu?
“Mengapa perlu menggunakan kekerasan fizikal hanya kerana seorang pelajar tidak mampu menjawab soalan? Dania bukan satu-satunya pelajar yang tidak mendapat markah baik dalam subjek tersebut.
“Mengapa anak saya perlu menerima layanan sedemikian?Sebelum ini, saya sendiri sudah hadir ke sekolah untuk berbincang mengenai apa yang berlaku kepada Dania. Namun, keadaan bukan semakin baik, malah didakwa semakin serius sehingga berlaku kecederaan fizikal,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anak dicubit guru Prinsip Akaun, Fadlina jamin siasat segera appeared first on Kosmo Online.






