Anak kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tampilmempersoalkan pengumuman peletakan jawatan bapanya yang dibuat oleh pihak Barisan Nasional (BN) pada malam Isnin.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Naim Ismail yang menggunakan akaun @naimismaill_ meluahkan rasa tidak puas hati apabila pengumuman tersebut dibuat oleh pihak parti, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada keputusan berkenaan benar-benar datang daripada bapanya sendiri.
AdvertisementAnak Ismail Lasim Buat Hantaran Di Instagram
Dalam perkongsian tersebut, Naim mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan bapanya tanpa penjelasan lanjut.

“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?”
Menurut Naim, bapanya selama ini telah memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh parti.
Bagaimanapun, dia meluahkan rasa kecewa apabila situasi berkenaan akhirnya membawa kepada pengumuman peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar.
Dakwa Ada Yang Dijadikan ‘Kambing Hitam’
Tidak terhenti di situ, Naim turut mendakwa terdapat usaha untuk menjatuhkan individu dalam parti sendiri meskipun isu berkenaan masih belum diselesaikan sepenuhnya.
“Belum apa-apa selesai dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri. Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam.
“Kalau betul nak menjaga parti, jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ini.”
Naim turut mengingatkan pihak tertentu supaya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada satu pihak sahaja.
Menurutnya, semua pihak mengetahui perkara yang sebenarnya berlaku dan tidak sepatutnya menjadikan individu tertentu sebagai pihak yang dipersalahkan demi kepentingan masing-masing.
Bagaimanapun, Naim tidak menamakan secara khusus individu yang dimaksudkan dalam hantaran berkenaan.
Istana Beri Kenyataan
Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan bahawa Ismail telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa Isnin, 16 November 2026.
Zambry turut memaklumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan yang dikatakan telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan pihak Istana Negeri Sembilan memaklumkan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan Ismail masih belum disahkan.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, surat berkenaan hanya diterima di Istana Hinggap, Seremban pada pukul 12.16 tengah malam, 17 November 2026.
Pihak Istana turut menjelaskan bahawa sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Ismail Lasim Letak Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, BN Bakal Kemuka Calon Pengganti
The post Anak Ismail Lasim Persoal Peletakan Jawatan Bapa, Dakwa Ada ‘Kambing Hitam’ first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






