Ismail Letak Jawatan: ‘Saya Tidak Dimaklumkan’ - Jalaluddin

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 8:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Ismail Letak Jawatan: ‘Saya Tidak Dimaklumkan’ - Jalaluddin

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan hanya mengetahui hasrat Datuk Ismail Lasim untuk melepaskan jawatan Menteri Besar selepas dimaklumkan oleh kepimpinan tertinggi parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan itu tidak pernah menyampaikan hasrat berkenaan kepadanya atau kepada kepimpinan UMNO negeri.

“Saya hanya dimaklumkan oleh kepimpinan tertinggi parti mengenai hasrat beliau (Ismail) untuk meletakkan jawatan. Beliau tidak memaklumkan perkara itu sendiri kepada UMNO negeri,” katanya pada sidang media.

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengumumkan bahawa Ismail telah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.

Zambry turut memaklumkan bahawa Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.

Mengulas dakwaan bahawa Ismail dipaksa melepaskan jawatan, Jalaluddin enggan mengulas lanjut.

“Keutamaan kami adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan dengan berkesan dan segala urusan berkaitan proses ini berlangsung dengan lancar,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas mengenai pendirian pihak Istana Negeri Sembilan yang setakat ini belum mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan Ismail.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu menegaskan, pihaknya menghormati keputusan Ismail, selain merakamkan penghargaan atas khidmat bakti serta sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran negeri itu.

Katanya, bagi memastikan urusan peralihan berjalan lancar, UMNO Negeri Sembilan menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz dan akan akur dengan titah baginda.

Mengenai calon yang bakal menggantikan Ismail, Jalaluddin berkata perkara itu tertakluk kepada cadangan kepimpinan tertinggi parti serta perkenan Tuanku Muhriz. - Getaran, 17 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved