
Anak Malaysia Cipta Sejarah, Mohammad Hasif Tersenarai Dalam Apple Developer Recognition
Kejayaan tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada usaha berterusan, perjalanan yang panjang serta pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi dengan penuh kesabaran.
Setiap individu yang berjaya pasti pernah melalui fasa sukar, sama ada berdepan kegagalan, kekurangan peluang mahupun keraguan daripada orang sekeliling.
Walaupun hasil tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat, usaha yang dilakukan secara berterusan mampu membuka ruang kepada peluang yang lebih besar.
Baru-baru ini, seorang jurutera perisian dari Malaysia, Mohammad Hasif Afiq telah berjaya tersenarai dalam program Apple Developer Recognition.
Beliau tersenarai bersama dengan 49 lagi pembangun lain dari seluruh dunia yang turut memberikan sumbangan kepada komuniti masing-masing.
Jurutera iOS & pencipta aplikasi pertama dapat pengiktirafan dari Apple
Kongsi beliau di LinkedIn, mendapat pengiktirafan dari Apple adalah satu kejayaan yang sangat besar.
Bukan itu sahaja, beliau berasa rendah diri dan berbesar hati kerana dapat mewakili Malaysia menerusi penghargaan ini.

Tambah beliau, penghargaan dari Apple menjadi satu perkara yang tidak disangkakan kerana jenama besar itu sudah memberi perhatian terutamanya kepada pembina komuniti di rantau ini.

"Ribuan terima kasih kepada Apple kerana memberi perhatian kepada pembina komuniti di seluruh rantau ini serta mewujudkan ekosistem yang meraikan usaha membantu orang lain berkembang, sama seperti kecemerlangan teknikal," kongsi beliau
Kata beliau lagi, sebagai seorang pembangun aplikasi, tiada penghargaan yang lebih bermakna selain menerima pengiktirafan daripada Apple sendiri.
"Ia terasa seperti satu penghargaan terhadap setiap baris kod yang ditulis, setiap masalah yang berjaya diselesaikan dan setiap pengguna yang pernah dibantu," tambah beliau.
Baca juga:
Saintis Malaysia Pertama Menang “Oscars Of Science”, Kenali Dr Swee Lay Thein
Tiga Rakyat Malaysia Dipilih Terima Anugerah Pemimpin Muda QECT 2026
Cipta beberapa aplikasi
Bagi yang belum tahu, Mohammad Hasif kini merupakan seorang jurutera perisian kanan di Grab dan sebelumnya turut terlibat dengan pembangunan aplikasi lain seperti GXBank, Boost eWallet dan Seek.
Selain itu, beliau juga pernah membangunkan aplikasi ketika pandemik Covid-19 lalu termasuk Hidayah App dan Bantu App sambil membawa semangat ingin tahu yang sama ke dalam komuniti SwiftLah!, tempat beliau paling selesa berhubung dan berkongsi dengan para pembangun aplikasi.
Malah, beliau turut menzahirkan penghargaan ini kepada komuniti SwiftLah! yang menjadi antara komuniti yang sentiasa memberi inspirasi kepadanya.
