Jurutera iOS dan Pencipta Bantu App Menjadi Rakyat Malaysia Pertama Terima Pengiktirafan Pembangun Apple

LocalTechnology
15 May 2026 • 2:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Bukan mudah menyusun tangga ke angkasa. Bukan mudah juga untuk mengubah mimpi jadi realiti. Tetapi bagi Mohammad Hasif Afiq seorang jurutera pembangunan aplikasi iOS dan membangunkan aplikasi Bantu App, beliau kini menjadi rakyat Malaysia pertama dimasukkan ke dalam senarai pengiktirafan Apple Developer Recognition.

Image from: Jurutera iOS dan Pencipta Bantu App Menjadi Rakyat Malaysia Pertama Terima Pengiktirafan Pembangun Apple

Profil beliau dipaparkan di muka depan Developer Recognition dua hari lalu bersama dengan 49 lagi pembangun lain seluruh dunia yang memberikan sumbangan besar kepada komuniti masing-masing. Mohammad Hasif pada waktu ini ialah jurutera perisian kanan di Grab dengan beliau terlibat dengan pembangunan aplikasi Grab, GXBank, Boost eWallet, and JobStreet.

Semasa pandemik menyebabkan ramai rakyat Malaysia berhadapan masalah mendapatkan bantuan, Mohammad Hasif membangunkan Bantu App di bawah inisiatif tular #KitaJagaKita di media sosial. Selain itu beliau juga pembangun aplikasi Hidayah App yang menunjukkan waktu solat, kompas kiblat, doa pilihan, tasbih dan ayat Al Quran. Akhir sekali beliau juga aktif dalam Switflah!, yang merupakan komuniti pembangun iOS di Malaysia.

Dalam muatan status di LinkedIn, Mohammad Hasif berkata pada mulanya tidak percaya dimasukkan ke dalam senarai kerana menyangka Apple tersalah menghantar emel. Ia dilihat sebagai pengesahan setiap baris kod, setiap masalah diselesaikan, dan setiap pengguna yang dibantu oleh beliau selama ini.