Anak muda mahu lebih daripada sekadar pekerjaan

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anak muda mahu lebih daripada sekadar pekerjaan

UNDI18 bukan sekadar membuka ruang kepada golongan muda untuk memilih pemimpin. Lebih penting, ia memberi mereka peluang menentukan arah masa depan yang bakal mereka tempuhi.

Dalam pilihan raya, anak muda bukan hanya mahu didengar ketika kempen berlangsung tetapi mahu melihat isu yang dekat dengan kehidupan mereka diberi perhatian serius.

Dengan jumlah pengundi muda yang semakin besar, suara mereka kini menjadi antara penentu penting keputusan pilihan raya. Namun, di sebalik angka itu, wujud persoalan lebih besar tentang masa depan generasi ini.

Ketika sebahagian anak muda masih bergelut mendapatkan pekerjaan, menanggung kos sara hidup dan membina kehidupan stabil, mereka mahu tahu apakah yang ditawarkan politik untuk masa depan mereka.

Hampir 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun membentuk 47.6 peratus pemilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai lalu. Pada masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 291,600 belia berusia 15 hingga 24 tahun menganggur pada Mei 2026.

Angka ini membawa mesej jelas. Suara anak muda semakin penting dalam menentukan arah politik, namun kuasa mengundi perlu disertai perhatian terhadap cabaran yang mereka hadapi.

Selepas PRN Johor, perhatian kini beralih kepada PRN Negeri Sembilan. Dalam suasana pilihan raya, parti politik tentunya akan menawarkan pelbagai janji kepada golongan muda, termasuk peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan bantuan ekonomi.

Namun, memahami anak muda tidak boleh berhenti pada slogan penciptaan pekerjaan. Persoalan lebih penting ialah sama ada pekerjaan yang diwujudkan benar-benar mampu mengubah kehidupan mereka.

Ramai anak muda tidak terlalu memikirkan gelaran jawatan yang bakal disandang. Mereka mahu tahu apa yang boleh dilakukan dengan pendapatan diterima. Adakah gaji cukup untuk membayar sewa rumah, kos pengangkutan, pinjaman pendidikan dan perbelanjaan harian? Mampukah mereka membantu ibu bapa dan menyimpan wang untuk kecemasan?

Anak muda mahukan pekerjaan yang mampu meningkatkan taraf hidup dan memberi masa depan lebih stabil kepada keluarga.

Sebab itu, tawaran pekerjaan bergaji rendah tanpa laluan kemajuan tidak lagi memadai. Memiliki pekerjaan tetapi masih terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menampung keperluan asas bukanlah kemajuan yang diimpikan.

Mereka mahukan upah setimpal, perlindungan sosial, masa kerja munasabah, peluang meningkatkan kemahiran dan laluan kerjaya jelas.

Keadaan ini menjelaskan mengapa pengundi muda semakin kritikal dalam menilai tawaran politik. Mereka tidak mudah berpuas hati dengan janji umum. Mereka mahu mengetahui bagaimana sesuatu dasar dilaksanakan, siapa menerima manfaat, berapa lama tempoh pelaksanaan dan dari mana sumber kewangannya.

Kempen yang menampilkan wajah muda dan menggunakan bahasa santai mungkin menarik perhatian tetapi belum tentu membina kepercayaan.

Anak muda bandar, misalnya, berdepan tekanan sewa rumah dan kos pengangkutan tinggi. Mereka mungkin mempunyai pekerjaan tetapi sebahagian besar pendapatan habis untuk memenuhi keperluan asas.

Anak muda luar bandar pula berdepan kekurangan peluang kerja yang sesuai dengan kelayakan tanpa perlu berhijrah. Ada yang memiliki ijazah, mengikuti pendidikan teknikal, bekerja sendiri atau bergantung ekonomi gig.

 

 

Image from: Anak muda mahu lebih daripada sekadar pekerjaan
UNDI18 bukan sekadar memberi anak muda hak untuk memilih pemimpin tetapi membuka ruang untuk mereka menentukan masa depan yang lebih baik.

POLITIK PERLU MENJAWAB REALITI ANAK MUDA

Atas sebab itu, tawaran politik kepada golongan muda perlu berpijak pada realiti kehidupan mereka. Anak muda tidak mahu sekadar menjadi sasaran kempen setiap kali pilihan raya berlangsung. Mereka mahu melihat dasar yang memberi kesan selepas pilihan raya berakhir.

Bagi kerajaan negeri, agenda anak muda perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar menarik pelaburan. Pelaburan yang masuk mesti membuka peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji munasabah.

Kerajaan juga perlu memudahkan urusan perniagaan, menghidupkan ekonomi setempat dan memperluas pengangkutan awam. Kerjasama dengan industri pula boleh diperkukuh melalui latihan berbayar, program perantisan dan peluang pekerjaan berhampiran tempat tinggal.

Perumahan mampu milik perlu dilihat secara menyeluruh. Rumah murah yang terletak jauh dari tempat kerja mungkin akhirnya membebankan golongan muda kerana mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan tinggi.

Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar sampai kepada pekerja muda. Angka pelaburan dan jumlah pekerjaan tidak cukup menunjukkan kejayaan jika gaji tidak berkembang seiring peningkatan kos hidup.

Dasar upah, perlindungan pekerja gig, latihan semula dan keselamatan sosial perlu bergerak seiring. Anak muda mahu melihat hubungan jelas antara kemajuan ekonomi negara dengan kehidupan mereka sendiri.

Majikan juga mempunyai tanggungjawab. Pekerja muda bukan tidak setia apabila mencari peluang dan pendapatan lebih baik. Kesetiaan lahir melalui gaji yang adil, layanan baik, ruang meningkatkan kemahiran dan prospek kerjaya.

Jika sektor awam dan swasta mahu mengekalkan bakat terbaik, pekerjaan perlu menjadi ruang membina kehidupan, bukan sekadar tempat menukar masa dengan upah.

Pada masa sama, anak muda perlu menggunakan kuasa mengundi dengan matang. Mereka tidak seharusnya memilih berdasarkan ucapan paling lantang, kandungan paling tular atau retorik yang membangkitkan kemarahan.

Pengundi perlu membandingkan manifesto, menilai rekod calon dan memahami bidang kuasa kerajaan negeri serta Persekutuan. Mereka juga perlu berhati-hati dengan maklumat palsu yang sengaja disebarkan untuk mempengaruhi emosi.
Undi bijak lahir daripada pertimbangan terhadap siapa yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Masyarakat pula perlu mewujudkan ruang perbincangan sihat tanpa memperlekeh pandangan anak muda. Perbezaan pilihan politik tidak sepatutnya merosakkan hubungan. Sebaliknya, perbincangan mengenai kos hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan kemudahan awam boleh membantu semua generasi memahami cabaran yang dihadapi anak muda.

Kerajaan juga wajar menetapkan sasaran yang boleh diukur, termasuk pertumbuhan gaji belia, jumlah pekerjaan berkualiti, latihan berbayar dan akses perumahan. Pencapaian perlu dilaporkan secara berkala supaya rakyat dapat menilai kemajuan tanpa menunggu pilihan raya seterusnya.

Tanggungjawab pengundi tidak tamat selepas mencelup jari. Begitu juga tanggungjawab pemimpin tidak berakhir selepas memenangi kerusi.

Undi18 memberikan anak muda hak untuk memilih tetapi demokrasi yang sihat memerlukan lebih daripada sekadar hak mengundi. Mereka mahu suara didengar dan pilihan mereka membawa perubahan.

Kertas undi mereka bukan permintaan untuk dihiburkan dengan slogan tetapi merupakan suara yang menuntut pekerjaan lebih baik, pendapatan mencukupi dan kehidupan bermaruah.

Pihak yang memahami tuntutan ini akan lebih mudah memperoleh kepercayaan anak muda. Sebaliknya, mereka yang hanya melihat Undi18 sebagai angka dalam pilihan raya mungkin berdepan generasi yang semakin matang, kritikal dan tidak takut mengubah pilihan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM).

The post Anak muda mahu lebih daripada sekadar pekerjaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved