
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi, menegaskan ketiadaan dirinya bersama empat anak mereka pada majlis perkahwinan bekas suaminya, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu, tidak sepatutnya dijadikan isu besar.
Menurut Adira atau Siti Adira Suhaimi, 34, perkara yang lebih penting ialah dia tidak pernah menghalang bekas suaminya daripada bertemu anak-anak dan hak lawatan itu terus diberikan seperti biasa.
“Saya sebenarnya enggan melayan perkara seperti ini. Sebagai ibu, saya tahu apa yang terbaik untuk anak-anak.
“Isu tidak hadir ke majlis perkahwinannya bukanlah sesuatu yang besar atau penting untuk diperkatakan.
“Apa yang lebih penting sekarang ialah saya masih memberi peluang kepada anak-anak untuk berjumpa dengannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 di Istana Budaya, baru-baru ini.
Tambah penyanyi itu, keutamaannya ketika ini adalah membesarkan empat cahaya matanya sebaik mungkin tanpa diganggu dengan isu-isu yang tidak memberi manfaat.
“Saya hanya mahu menjaga amanah empat orang anak ini tanpa mengganggu atau menyusahkan sesiapa. Jadi, saya harap perkara seperti ini tidak lagi mengganggu kehidupan saya.
“Berilah saya ruang untuk mencari rezeki dan membesarkan anak-anak dengan tenang kerana bukan mudah memikul tanggungjawab ini.
“Saya bekerja untuk menyediakan pendidikan, perlindungan, tempat tinggal, makan minum, pakaian dan keperluan kesihatan mereka tanpa menyusahkan atau mengusik sesiapa.
“Jadi, saya minta jangan usik saya juga kerana saya tidak pernah mengusik sesiapa,” katanya.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Ombak Rindu itu berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan isu membabitkan bekas suaminya, lebih-lebih lagi apabila anak-anak mereka kini semakin membesar dan mampu membaca pelbagai khabar yang tersebar.
“Berilah saya menjalani kehidupan sebagai seorang ibu dan memberi tumpuan kepada kerjaya.
“Anak-anak saya pun sudah besar dan boleh membaca semua perkara. Kalau boleh, saya mahu hentikan semua ini dan fokus kepada kerjaya demi mencari rezeki,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Red meluahkan rasa terkilan apabila empat daripada enam anaknya tidak hadir ke majlis perkahwinannya yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Anggrek, 9, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 4. -UTUSAN
The post Jangan usik saya, tidak hadir majlis kahwin bukan isu besar – Adira appeared first on Utusan Malaysia.






