
LAPORAN Digital 2026 menunjukkan bahawa TikTok mempunyai potensi capaian iklan kepada kira-kira 30.7 juta pengguna dewasa di Malaysia pada penghujung 2025.
Instagram pula mempunyai sekitar 16.1 juta pengguna berdasarkan data pengiklanan platform pada tempoh tersebut.
Media sosial bukan lagi sekadar tempat remaja berkongsi gambar dan menonton video. Ia sudah menjadi sebuah pusat membeli-belah yang sentiasa berada dalam poket.
Kajian Ipsos Malaysia yang dijalankan pada Mei 2026 mendapati 74 peratus rakyat Malaysia yang dikaji telah melayari platform e-dagang dalam tempoh enam bulan sebelumnya.
Enam daripada 10 pula telah membuat sekurang-kurangnya satu pembelian dalam tempoh tersebut.
Lebih menarik, dalam kalangan mereka yang membeli melalui platform e-dagang, penggunaan TikTok meningkat daripada 43 peratus pada 2024 kepada 62 peratus pada 2026.
Shopee masih mendahului dengan 71 peratus, tetapi jurangnya semakin mengecil.
Golongan muda pula masih menjadi pengguna yang sangat aktif. Dalam kalangan pembeli TikTok Shop yang dikaji Ipsos, 69 peratus pengguna berumur 18 hingga 24 tahun telah membuat pembelian melalui TikTok Shop dalam tempoh enam bulan sebelumnya.
Platform digital membuka peluang kepada usahawan kecil, pencipta kandungan dan anak muda menjana pendapatan.
Banyak produk tempatan yang mungkin sukar mendapat perhatian melalui pemasaran tradisional kini boleh dikenali hanya melalui sebuah video pendek.
Masalah timbul apabila kita tidak lagi dapat membezakan antara “saya mahu” dengan “saya perlu.”
Produk dipromosikan oleh pempengaruh yang kita ikuti setiap hari. Mereka bercakap seperti seorang kawan. Produk tidak kelihatan seperti iklan. Ia muncul sebagai cadangan, pengalaman peribadi atau “barang yang korang wajib ada”.
Apabila satu produk tular, kita mula merasakan semua orang memilikinya. Kita takut ketinggalan. Dalam bahasa media sosial, keadaan ini sering dikaitkan dengan fear of missing out atau FOMO.
Tambah pula dengan ayat seperti “tinggal tiga sahaja”, “harga untuk siaran langsung sahaja”, “baucar tamat lima minit lagi” dan “ramai tengah beli”. Tidak semua pengguna sempat bertanya soalan paling asas: Aku benar-benar perlukan barang ini?
Inilah kemahiran yang perlu dimiliki generasi muda sekarang, bukan sekadar celik digital, tetapi celik pemasaran.
Kerajaan sendiri semakin memberi perhatian terhadap keselamatan golongan muda dalam ruang digital. Mulai 1 Jun 2026,
Malaysia memperkenalkan langkah perlindungan yang lebih ketat terhadap pengguna bawah 16 tahun, termasuk sekatan pendaftaran dan pemilikan akaun serta tanggungjawab lebih besar kepada penyedia platform dalam mengurus kandungan berbahaya.
Namun peraturan sahaja tidak cukup.
Remaja yang semakin dewasa tetap akan berhadapan dengan iklan, pempengaruh, affiliate, promosi dan algoritma. Sebab itu, pendidikan kewangan perlu berjalan seiring dengan pendidikan digital.
Tidak salah membeli kasut yang cantik. Tidak salah mencuba produk yang tular. Tidak salah menikmati TikTok.
Tetapi jangan biarkan For You Page (FYP) menentukan nilai diri, gaya hidup dan cara kita menggunakan wang.
Algoritma mungkin tahu apa yang kita suka. Tetapi keputusan akhir tentang apa yang kita beli sepatutnya masih berada di tangan kita. – UTUSAN
SITI NURHIJAN MAHAMAD HASRI
Pelajar sarjana Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor
The post Anak muda semakin ‘ketagih’ membeli? appeared first on Utusan Malaysia.






