Anak OKU buktikan mampu cipta kejayaan

24 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak OKU buktikan mampu cipta kejayaan

PETALING JAYA – Pengorbanan ibu bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) dan kasih sayang keluarga menjadi pembakar semangat buat Arifah Azhari, 22, untuk terus berusaha sehingga berjaya mencipta kecemerlangan dalam pengajian.

Graduan Diploma Kejurute­raan Awam Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) itu membuktikan kesungguhannya apabila meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76, sekali gus menerima Anugerah Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026.

“Bagi saya, pengorbanan mak dan abah memang sangat besar dan menjadi dorongan utama untuk saya terus berusaha. Dari kecil, walaupun kami berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, mereka tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk saya dan adik-beradik mencapai kejayaan,” katanya kepada Kosmo!.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan Kejuruteraan Awam atas pencapaian cemerlang dalam akademik, kepimpinan dan kokurikulum.

Arifah merupakan anak kepada pasangan Azhari Zainol dan Che Asma Hamzah yang kedua-duanya merupakan OKU pe­n­dengaran dan pertuturan sejak lahir.

Ibu bapanya bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Sains Malaysia, Kampus Nibong Tebal.

Menurutnya, ibu bapanya sentiasa berpesan supaya dia dan adik-beradiknya belajar bersungguh-sungguh serta menjadi insan yang berjaya.

“Saya sendiri melihat bagaimana mereka bekerja keras untuk membesarkan kami sembilan beradik. Jadi, setiap kali saya rasa penat atau susah dalam belajar, saya akan teringat pengorbanan mereka dan jadikan itu sebagai semangat untuk teruskan perjuangan.

“Bagi saya, kejayaan ini bukan untuk diri saya seorang, tetapi paling utama untuk mak dan abah. Saya cuma mahu mereka bangga dan merasakan bahawa segala pengorbanan mereka selama ini tidak sia-sia,” katanya.

Sementara itu, Arifah turut mengenang pengorbanan abang-abangnya yang sanggup mengumpul wang untuk membelikan sebuah komputer riba kepada kakaknya kira-kira lapan tahun lalu.

Katanya, selepas kakaknya tamat belajar, komputer riba ber­kenaan pula digunakan olehnya untuk meneruskan pengajian di politeknik.

“Pada usia mereka yang masih muda, abang-abang sanggup mengumpul duit untuk membelikan sebuah komputer riba kepada kakak saya yang memerlukannya untuk menyambung pengajian.

“Selepas kakak habis belajar, laptop itu pula digunakan oleh saya untuk meneruskan pengajian di politeknik,” katanya.

Menurutnya, pengorbanan abang-abangnya itu sangat bermakna kerana menggambarkan kasih sayang dan tanggungjawab dalam keluarga.

“Walaupun mungkin bagi orang lain ia nampak seperti perkara kecil, bagi saya pe­ngorbanan itu sangat bermakna kerana abang-abang saya sanggup berkorban supaya adik-adik mereka dapat terus belajar dan mengejar cita-cita.

“Kami adik-beradik sangat hargai pengorbanan tersebut kerana ia menunjukkan bahawa dalam keluarga kami saling membantu dan menyokong,” ujarnya.

The post Anak OKU buktikan mampu cipta kejayaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved