
KUALA LUMPUR 18 Dis – YNH Property Bhd mengumumkan rombakan lembaga pengarah susulan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu pada Rabu, yang menyaksikan anak kepada pemegang saham terbesar kumpulan, Datuk Dr Yu Kuan Chon, gagal dipilih semula sebagai pengarah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, YNH Property berkata Yu Jian Loong, 25, yang baharu setahun memegang jawatan pengarah eksekutif, merupakan antara tiga ahli lembaga yang tidak mendapat sokongan pemegang saham selepas mencalonkan diri untuk pemilihan semula.
Seramai 46 pemegang saham mewakili 77.3% undi yang dibuang menolak pemilihannya semula, manakala 18 pemegang saham dengan 22.7% undi menyokong pencalonan tersebut.
Turut tidak dipilih semula ialah pengarah bebas bukan eksekutif Ching Lee Fong dan pengarah bukan eksekutif Loh Sah Hooi.
Bagaimanapun, pengarah bebas Koh Liong Boon dipilih semula dengan sokongan penuh 100% undi.
Pada hari yang sama, syarikat mengumumkan pelantikan Yu Kai Leun sebagai pengarah urusan kumpulan serta Yu Kai Liang sebagai pengarah eksekutif.
Kedua-duanya merupakan anak kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Datuk Yu Kuan Huat, yang juga abang kepada Kuan Chon.
Kai Leun, 35, dan Kai Liang, 34, masing-masing dilantik bagi mengukuhkan barisan pengurusan kanan dan lembaga pengarah kumpulan, menurut kenyataan YNH Property.
Dalam perkembangan berkaitan, Kuan Chon yang memegang 24.41% kepentingan saham secara langsung dan 8.17% kepentingan tidak langsung dalam YNH Property, telah ditetapkan semula jawatannya daripada pengarah eksekutif kepada pengarah bukan eksekutif bukan bebas.
YNH Property berkata Kai Leun, yang menyertai lembaga sebagai pengarah eksekutif pada Disember 2024, mempunyai pengalaman lebih sedekad bersama kumpulan dan bertanggungjawab mengawasi aktiviti pembinaan serta pembangunan di Kuala Lumpur.
Beliau terlibat dalam keseluruhan kitaran projek, termasuk perancangan, pengurusan tender, pelaksanaan tapak dan penyerahan projek.
Antara pembangunan utama yang pernah diterajui beliau termasuk Kiara 163, Solasta Dutamas, 188 Suites KLCC dan Lot 163 KLCC.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah atas kepercayaan dan peluang untuk memimpin YNH ke fasa seterusnya. Tumpuan kini adalah untuk memperkukuh disiplin pelaksanaan, memperjelas keutamaan serta membina budaya pengurusan yang berteraskan akauntabiliti dan penyampaian,” kata Kai Leun.
Menurut YNH Property, struktur kepimpinan baharu itu bertujuan memberikan kejelasan dari segi kuasa dan tanggungjawab pengurusan, di samping memastikan kesinambungan serta disiplin tadbir urus di peringkat lembaga.
Keutamaan kumpulan termasuk melaksanakan projek pembangunan sedia ada, mengekalkan pengurusan modal dan kunci kira-kira yang berhemat, serta membina semula saluran pembangunan secara terpilih selaras dengan keadaan pasaran.
Dalam perkembangan berasingan, Rapid Synergy Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama mengumumkan Kuan Chon telah ditetapkan semula sebagai pengerusi eksekutif berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Tan Sri Mazlan Lazim. Mazlan, 64, pula ditetapkan semula sebagai timbalan pengerusi bukan eksekutif bebas.
Yu Jian Loong yang gagal dipilih semula dalam YNH Property turut menganggotai lembaga Rapid Synergy, di mana Kuan Chon memegang kepentingan saham keseluruhan sebanyak 11.63% secara langsung dan tidak langsung. - DagangNews.com
