Anak peniaga pisang goreng kongsi rahsia kejayaan dapat 11A+ dalam SPM

LocalFamily & Parenting
1 Apr 2026 • 3:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fakhrul Iman Zainudin, 18, berjaya memperoleh 11A+ sekali gus dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang di sekolahnya.
image is not available
Fakhrul Iman (kanan) tidak kekok membantu ibu bapanya di gerai mereka.
image is not available
Mohd Faizal (tengah) melayan Mohd Faizal yang datang melawatnya di gerai.

PORT DICKSON – Disiplin tinggi dalam belajar, menjaga adab dengan guru serta konsisten memanfaatkan kelas tambahan menjadi formula kejayaan seorang anak peniaga pisang goreng dari Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang di sini apabila berjaya meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi Fakhrul Iman Zainudin, 18, tiga elemen itu menjadi rahsia utama yang membolehkannya memperoleh 11A+ sekali gus dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang di sekolahnya.

Menurutnya, kejayaan tersebut bukan sahaja hasil usaha sendiri, tetapi juga berkat bimbingan guru serta sokongan ibu bapanya yang tidak pernah putus memberi dorongan.

Mengulas lanjut, Fakhrul menegaskan bahawa adab terhadap guru memainkan peranan besar dalam keberkatan ilmu yang dipelajari.

**media[3478352]**

“Bagi saya, jika kita tidak menghormati guru, ilmu itu sukar diterima dan apa yang dihafal juga sukar untuk diingati.

“Sebelum peperiksaan SPM, guru-guru banyak mengadakan kelas tambahan dan saya boleh katakan sebahagian besar ilmu yang saya peroleh adalah di sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi, keputusan cemerlang yang diperoleh itu merupakan hadiah buat ibu bapanya, Zarina Sood, 54, dan Zainudin Abdul Latif, 63, yang selama ini bertungkus-lumus mencari rezeki.

“Saya berasal daripada keluarga sederhana. Ayah dan emak membesarkan kami lima beradik dengan mencari rezeki melalui perniagaan pisang goreng dan laksa.

“Bermula jam 2 petang hingga 6.30 petang, mereka berniaga di Teluk Kemang. Dua abang saya turut membantu di gerai dan ketika cuti sekolah, saya juga akan datang membantu,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, latar belakang keluarganya menjadi pendorong untuk membuktikan kejayaan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.

Ujarnya, dia turut berpegang kepada pesanan ibu bapanya agar belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.

“Walaupun perjalanan saya masih panjang, namun jauh di sudut hati saya mahu emak dan ayah berehat di rumah kerana mereka sudah berusia. Kadang-kala emak mengadu sakit belakang kerana penat,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui tidak menyangka mampu meraih keputusan cemerlang tersebut memandangkan ketika peperiksaan percubaan hanya memperoleh 4A+, 2A dan 5A-.

Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan detik sebak seorang anak memeluk bapanya selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2025.

Fakhrul Iman yang merupakan pelajar tahfiz sejak Tingkatan Tiga berjaya memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Prinsip Perakaunan, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran.

**media[3478353]**

Sementara itu, bapanya, Zainudin berkata, dia telah berniaga pisang goreng lebih 22 tahun untuk menyara keluarga.

“Apabila berniaga, pendapatan tidak menentu. Namun Alhamdulillah, saya dapat membesarkan lima anak.

“Fakhrul ini sememangnya sejak kecil saya sudah nampak potensinya kerana setiap kali peperiksaan, dia memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, kejayaan Fakhrul boleh dijadikan inspirasi kepada pelajar lain.

“Saya akan memberikan insentif kepada Fakhrul sebagai galakan atas kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang ini,” katanya.