[VIDEO] 'Saya mahu mak, ayah berehat' - Anak peniaga pisang goreng syukur dapat 11A+, mahu ubah nasib keluarga

LocalFamily & Parenting
1 Apr 2026 • 2:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Fakhrul Iman menunjukkan keputusan peperiksaan SPM kepada kedua ibu bapanya
image is not available
Fakhrul Iman(kanan) tidak kekok membantu ibu bapanya di gerai mereka
image is not available
Mohd Faizal (tengah) melayan Mohd Faizal yang datang melawatnya di gerai

PORT DICKSON – Kegigihan ibu bapanya mencari rezeki dengan berniaga pisang goreng dan laksa menjadi pembakar semangat buat seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang di sini untuk belajar bersungguh-sungguh bagi meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hasilnya, Fakhrul Iman Zainudin, 18, berjaya memperoleh keputusan 11A+ sekali gus dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang di sekolahnya.

Dia juga tidak menyangka video dirinya mengambil keputusan sambil ditemani bapanya menjadi tular di media sosial.

**media[3478293]**

Menurutnya, keputusan cemerlang yang diperoleh itu merupakan hadiah buat ibu bapanya, Zarina Sood, 54, dan Zainudin Abdul Latif, 63, yang selama ini bertungkus-lumus mencari rezeki.

“Saya berasal daripada keluarga sederhana. Ayah dan emak membesarkan kami lima beradik dengan mencari rezeki melalui perniagaan pisang goreng dan laksa.

“Bermula jam 2 petang hingga 6.30 petang, mereka berniaga di Telok Kemang. Dua abang saya turut membantu di gerai dan ketika cuti sekolah, saya juga akan datang membantu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

**media[3478295]**

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, latar belakang keluarganya menjadi pendorong untuknya membuktikan kejayaan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.

Ujarnya, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di negara Timur Tengah selain bercita-cita menjadi pensyarah.

“Walaupun perjalanan saya masih panjang, namun jauh di sudut hati saya mahu emak dan ayah berehat saja di rumah kerana mereka sudah berusia, kadang-kala emak mengadu sakit belakang kerana penat,” katanya.

Fakhrul turut berkongsi bahawa ibu bapanya sentiasa berpesan agar dia belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.

Tambahnya, dia juga amat menitikberatkan adab terhadap guru yang disifatkan sebagai antara faktor utama kejayaannya.

“Bagi saya, jika kita tidak menghormati guru, ilmu itu sukar diterima dan apa yang dihafal juga sukar untuk diingati.

“Sebelum peperiksaan SPM, guru-guru banyak mengadakan kelas tambahan dan saya boleh katakan sebahagian besar ilmu yang saya peroleh adalah di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui tidak menyangka mampu meraih keputusan cemerlang tersebut memandangkan ketika peperiksaan percubaan, hanya memperoleh 4A+, 2A dan 5A-.

Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan detik sebak seorang anak memeluk bapanya yang sudah berusia selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2025.

Fakhrul Iman yang merupakan pelajar tahfiz sejak Tingkatan Tiga berjaya memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Prinsip Perakaunan, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran.

Sementara itu bapanya, Zainudin berkata, dia berniaga pisang goreng lebih 22 tahun untuk menyara keluarga.

"Bila berniaga ini biasalah, pendapatan tak menentu. Tapi Alhamdulillah, dapatlah saya membesarkan lima anak.

"Fakhrul ini sememangnya sejak kecil saya dah nampak potensi dia kerana setiap kali peperiksaan, dia akan dapat keputusan cemerlang," katanya.

Dalam pada Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang melawat Fakhrul di gerai berkata, kejayaan anak muda terbabit boleh dijadikan inspirasi kepada pelajar lain.

Ujarnya, meskipun berasal dari luar bandar, namun dia membuktikan mampu mencapai kejayaan yang membanggakan.

"Saya akan memberikan insentif kepada Fakhrul sebagai galakan atas kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang ini,"katanya.