'Saya mahu mak ayah berehat' – Kisah Fakhrul Iman anak peniaga pisang goreng raih 11A+ SPM undang sebak, impi jadi pensyarah

LocalFamily & Parenting
1 Apr 2026 • 9:04 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DI sebuah gerai sederhana yang menjual pisang goreng dan laksa, tersimpan impian besar seorang anak yang tekad mengubah nasib keluarga.

Bagi Fakhrul Iman Zainudin, 18, kejayaan bukan datang bergolek. Setiap titik peluh ibu bapanya menjadi sumber kekuatan untuk dia terus melangkah.

“Ini hadiah untuk emak dan ayah. Saya cuma nak mereka bangga dan bahagia, itu sahaja,” katanya, tenang namun sarat emosi.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang itu mencipta pencapaian luar biasa apabila meraih keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolahnya.

image is not available

Lebih menyentuh hati, detik dia memeluk bapanya sebaik menerima keputusan itu menjadi tular di media sosial.

Momen ringkas itu seolah-olah merangkumkan segala penat lelah yang dipikul keluarga selama ini.

Anak keempat daripada lima beradik itu membesar dalam keluarga sederhana. Sejak kecil, dia melihat ibu bapanya berniaga tanpa jemu dari tengah hari hingga petang di Telok Kemang.

“Ayah dan emak berniaga setiap hari. Kadang-kadang saya sendiri turun bantu bila cuti sekolah.

"Dari situ saya belajar erti susah dan usaha,” kongsinya seperti yang dikongsikan Sinar Harian.

Menurut Fakhrul, latar belakang keluarganya bukan halangan, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk berjaya.

“Saya selalu ingatkan diri, kalau mereka boleh berkorban untuk saya, takkan saya tak boleh berusaha untuk mereka,” ujarnya.

Wake-up call

Menariknya, perjalanan akademiknya tidak sentiasa sempurna. Dalam peperiksaan percubaan, dia hanya memperoleh 4A+, 2A dan 5A-. Namun, dia enggan menjadikan keputusan itu sebagai titik lemah.

“Masa trial, saya agak kecewa. Tapi saya anggap itu sebagai ‘wake-up call’ untuk buat lebih baik,” katanya jujur.

image is not available

Sebagai pelajar tahfiz sejak Tingkatan Tiga, Fakhrul menyeimbangkan antara hafazan dan akademik. Baginya, kejayaan tidak hanya bergantung pada usaha semata-mata, tetapi juga adab.

“Bagi saya, kalau kita tak hormat guru, ilmu itu susah nak masuk. Adab itu penting, baru ilmu berkat,” katanya.

Sepanjang tempoh persediaan SPM, dia banyak bergantung kepada kelas tambahan yang dianjurkan pihak sekolah.

“Banyak ilmu saya dapat daripada guru di sekolah. Mereka tak pernah jemu bantu kami,” katanya lagi.

Di sebalik kejayaan itu, terselit satu impian besar, mahu melihat ibu bapanya berehat setelah sekian lama bekerja keras.

“Saya teringin sangat nak tengok emak ayah duduk rehat di rumah.

"Tak perlu lagi penat berniaga,” luahnya perlahan.

Fakhrul kini bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di Timur Tengah dan seterusnya menjadi pensyarah.

image is not available

Sementara itu, bapanya, Zainudin Abdul Latif, yang telah lebih 20 tahun berniaga pisang goreng, tidak dapat menyembunyikan rasa syukur.

“Pendapatan memang tak menentu, tapi Alhamdulillah, anak-anak semua jadi. "Fakhrul dari kecil memang rajin dan fokus,” katanya.