Anak Robert Kuok dilantik sebagai CEO Shangri-La Asia dengan gaji RM312,000 sebulan

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2025 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak Robert Kuok dilantik sebagai CEO Shangri-La Asia dengan gaji RM312,000 sebulan

image is not available

16/07/2025 - 14:34

KUALA LUMPUR 16 Julai – Kuok Hui Kwong, anak kepada hartawan terkemuka Malaysia Robert Kuok dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shangri-La Asia Ltd berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Hui Kwong, 47, kini merupakan Pengarah Eksekutif syarikat itu sejak Jun 2016 dan telah memegang jawatan Pengerusi sejak Januari 2017.

Shangri-La Asia yang tersenarai di bursa Hong Kong dan Singapura berkata, penyatuan jawatan Pengerusi dan CEO di bawah Hui Kwong dijangka dapat menguatkan hala tuju syarikat dan pelaksanaan operasi dengan visi yang selaras di semua peringkat pengurusan.

Jawatan CEO sebelum ini dipegang oleh Lim Beng Chee yang bersara pada penghujung 2022, namun beliau kekal sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dalam lembaga syarikat.

Menurut laporan The Straits Times, Hui Kwong akan menerima gaji pokok bulanan sebanyak S$94,300 (RM312,000) selain menerima bonus berdasarkan prestasi dan faedah persaraan.

Beliau turut memiliki 95.57 juta saham secara langsung dan tidak langsung dalam Shangri-La Asia, bersamaan 2.7 peratus pegangan dalam syarikat.

Diasaskan oleh Robert Kuok pada tahun 1971 dengan pembukaan Hotel Shangri-La pertama di Singapura, kumpulan hospitaliti itu kini mengendalikan lebih 100 hotel di bawah empat jenama utama: Shangri-La, Kerry, Hotel Jen dan Traders, dengan 81 daripadanya dimiliki sendiri oleh syarikat. - DagangNews.com

standard