Anak Sabari ralat, bapa simpan duit tunggu panggilan haji, suspek guna buat berjudi

LocalPolitics
4 Oct 2024 • 7:20 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Anak Sabari ralat apabila mengetahui bahawa duit simpanan bapa yang disamun suspek digunakan untuk pergi berjudi di Batam sehingga dia kehilangan insan tersayang.

Memetik laporan dari Harian Metro, anak sulung Sabari Baharom iaitu, Suraiya Izzaty memaklumkan yang bapanya berhasrat mahu menunaikan haji memandangkan duit yang disimpan sudah mencukupi.

Namun, dia masih menanti panggilan dari Tabung Haji untuk menunaikan rukun Islam ke-5 itu.

image is not available

Anak Sabari ralat, tergamak suspek lakukan perkara kejam itu

Anak Sabari ralat dan akui tidak sangka apabila suspek tergamak menyamun bapanya sebelum membunuh dengan cara mengikat tangan, menutup mulut dengan pita pelekat sebelum dicampak ke dalam sungai sehingga jasadnya masih belum ditemui sehingga kini.

Lebih menyedihkan lagi, duit simpanan bapanya yang disamun suspek telah digunakan untuk berjudi di Batam seperti yang dilaporkan menerusi berita sebelum ini.

“Ayah memang berhasrat untuk menunaikan haji kerana duit simpanan miliknya sudah cukup tetapi dia masih menunggu panggilan daripada pihak Tabung Haji.

“Namun saya tak sangka suspek tergamak menyamun wang simpanan ayah itu semata-mata untuk berjudi sedangkan dia bersusah payah menyimpannya untuk pergi menunaikan haji,” katanya.

image is not available

Anak Sabari ralat, tindakan suspek sangat kejam & keterlaluan

Tambahnya lagi, tindakan yang dilakukan suspek disifatkan keterlaluan dan sangat kejam kerana bapanya merupakan seorang yang cukup baik dan pesara yang sudah berusia.

Ujar Suraiya, bapanya bersusah payah mencari dan mengumpul duit untuk menunaikan haji namun telah digunakan untuk tujuan yang cukup menjijikan.

“Suspek seperti manusia tidak bermoral sehingga sanggup membunuh ayah yang tidak bersalah semata-mata untuk untuk menutup perbuatan jenayah yang dilakukannya itu.

“Ayah bersusah payah bekerja mengumpul wang untuk menunaikan haji tetapi saya tak tahu jumlah sebenar namun suspek sanggup menggunakan wang itu untuk tujuan lain,” katanya.

image is not available

Harap suspek terima hukuman setimpal

Dalam pada itu, anak Sabari berharap agar suspek dikenakan hukuman yang setimpal dengan apa yang dilakukan dan mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kes tersebut.

Suraiya juga akui reda dengan pemergian bapa walaupun jasadnya masih belum ditemui sehingga kini.

“Biarpun jasad ayah belum ditemui namun saya reda dan akan terus berdoa supaya jasad ayahnya itu dapat ditemui segera.

“Kami sentiasa berdoa selain menunaikan solat hajat dan bacaan Yasin semoga jasad ayah ditemui,” katanya.

image is not available

Terdahulu, pihak polis memaklumkan duit yang disamun oleh suspek dipercayai digunakan untuk berjudi di Batam dan mereka telah ditahan sebaik tiba dari negara berkenaan di Selatan Tanah Air.

Difahamkan, suspek yang juga merupakan seorang kontraktor dipercayai turut mengalami ketagihan judi.

Sabari telah dilaporkan hilang setelah keluar dari rumah Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Walau bagaimanapun, kereta Proton Waja yang dipandunya ditemui telah hangus terbakar di Belantik, Sik namun tiada sebarang kelibatnya disana.

Sumber: Harian Metro (Zulyati Zulkiffli)