'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah

6 Jul 2026 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah
Mohd Firuz (tengah) ketika ditemui pemberita di pekarangan luar wad kecemasan Hospital Banting pada Isnin.

KUALA LANGAT – Pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting pada Isnin mengalami kecederaan serius selepas dipercayai ditikam antara 14 hingga 16 kali.

Perkara itu dimaklumkan bapanya, Mohd Firuz Ibrahim, 43, yang berkata, kebanyakan tikaman mengenai bahagian belakang badan dan muka sehingga menyebabkan paru-paru kiri anaknya cedera.

“Paru-paru kiri turut terkena dan kini doktor memasukkan tiub untuk mengeluarkan darah,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Firuz, kejadian yang menimpa anak keduanya daripada tiga beradik itu hanya diketahuinya selepas menerima panggilan daripada guru mangsa kira-kira jam 9.30 pagi.

“Sebaik menerima panggilan, saya terus bergegas ke hospital. Apabila sampai, saya lihat keadaan anak memang teruk.

“Saya dimaklumkan terdapat antara 14 hingga 16 kesan tikaman di bahagian belakang badan dan muka,” katanya.

Beliau berkata, anaknya kini berada dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.

Menurutnya, mangsa mengenali suspek yang berusia 15 tahun itu kerana mereka pernah belajar dalam kelas yang sama ketika Tingkatan Dua.

“Dimaklumkan suspek kini sedang ‘dicutikan’ kerana menjalani rawatan peribadi. Saya tidak pasti sama ada dia mempunyai dendam terhadap anak saya atau tidak.

“Saya rasa anak saya bukan sasaran, tetapi kebetulan berada berhampiran suspek ketika kejadian. Anak juga tidak pernah mengadu pernah diganggu suspek sebelum ini,” katanya.

Mengulas mengenai tahap keselamatan di sekolah, Mohd Firuz meluahkan rasa kesal dan berharap pihak sekolah dapat memperketatkan kawalan keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Saya harap pihak sekolah mengambil langkah lebih tegas dalam aspek keselamatan supaya insiden seperti ini tidak berulang dan pelajar dapat belajar dalam keadaan lebih selamat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved