KUALA TERENGGANU – Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera apabila dua motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar berhampiran Simpang Empat, Kampung Buluh Gading, di sini pada Jumaat.
Dalam insiden kira-kira jam 11.50 pagi itu, motosikal jenis Yamaha RXZ dilaporkan terbakar sebanyak 80 peratus, manakala sebuah skuter musnah 100 peratus.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Faizal Abu Bakar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 pagi sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
"Setibanya anggota di lokasi, kebakaran didapati telah pun dipadamkan oleh orang awam menggunakan semburan air paip.
**media[3601088]**
"Insiden berkenaan menyebabkan penunggang lelaki motosikal RXZ mengalami kecederaan pada bahagian tangan, manakala penunggang skuter iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki turut cedera," katanya.
Menurut Faizal, mangsa wanita bersama kanak-kanak terbabit telah dihantar ke hospital oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau menambah, anggota bomba di lokasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan kebakaran terpadam sepenuhnya dan tiada risiko nyalaan semula.
**media[3601086]**
"Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi bersama bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Operasi berjaya dikawal pada jam 12.05 tengah hari dan tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari," jelas beliau.
Sementara itu, tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di media sosial yang dipercayai merakam kejadian berkenaan.
Berdasarkan rakaman tersebut, motosikal RXZ terbabit dilihat merempuh sebuah motosikal lain selepas dipercayai melanggar lampu isyarat di persimpangan berkenaan.






