Anak Sukar Tidur Malam? Ini Tips Untuk Ibu Bapa Bantu Si Kecil Tidur Lebih Awal

Family & Parenting
7 Jul 2025 • 4:52 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Siapa kata jadi ibu bapa adalah satu tugas mudah? Jika ditanya kepada kebanyakan individu, pasti ramai yang mengakui kesukaran untuk menjaga dan mendidik anak.

Apatah lagi, setiap anak berlainan ragam dan sikapnya. Ada yang mudah mendengar kata namun ada juga yang menguji kesabaran.

Sebagai ibu bapa terutama kepada si cilik, pernah tak anda berhadapan dengan situasi di mana anak sukar untuk tidur.

Sudahlah penat bekerja, esok perlu bangun awal pula. Namun, si cilik tetap aktif bermain dan tiada tanda untuk menutup mata.

Tahukah anda, tidur memainkan peranan penting dalam tumbesaran si kecil dan sebagai ibu bapa perlu memastikan anak mendapat tidur yang secukupnya.

Keperluan Tidur Adalah Berbeza Mengikut Usia Individu

Secara ringkasnya, setiap individu berbeza keperluan jam tidur mengikut usia. Memetik Hello Doktor, ini jumlah jam tidur yang sepatutnya diperlukan oleh seseorang berdasarkan umur mereka:

  • Baru lahir (0-3 bulan) : 14 hingga 17 jam
  • Bayi (4-12 bulan) : 12 hingga 16 jam
  • Kanak-kanak (1-2 tahun) : 11 hingga 14 jam
  • Prasekolah (3 hingga 5 tahun) : 10 hingga 13 jam
  • Sekolah rendah (6 hingga 12 tahun) : 9 hingga 12 jam
  • Remaja (13 hingga 18 tahun) : 8 hingga 10 jam
  • Dewasa (18 hingga 64 tahun) : 7 hingga 9 jam
  • Dewasa berusia (65 tahun ke atas) : 7 hingga 8 jam

Tapi tak semua golongan di atas mendapat tidur yang mencukupi lebih-lebih lagi anak kecil yang aktif dan menghadapi kesukaran untuk tidur.

Berikut kami kongsikan lima tips mudah untuk ibu bapa setkan kembali rutin tidur anak dan mudahkan mereka untuk tidur dengan cepat.

#1 Cipta Jadual Tidur Yang Konsisten

Ini merupakan antara langkah penting yang boleh dilakukan oleh ibu bapa. Cipta rutin anak dengan membuat jadual harian dan menetapkan waktu tidur yang perlu dipatuhi oleh si kecil.

Anak akan berasa letih pada waktu sama setiap hari termasuk pada cuti hujung minggu. Elakkan daripada menunggu anak berada dalam keadaan terlalu letih sebelum tidur.

Malah, jika anda mencipta rutin sejak kecil seperti menggosok gigi, ia juga boleh memberi isyarat kepada si kecil bahawa telah masuknya waktu untuk tidur.

image is not available
Foto: Freepik

#2 Biar Anak Aktif Pada Waktu Siang

Tahukah anda, jika membiarkan anak aktif pada waktu siang, ia boleh membantu anak mudah tidur pada waktu malam?

Biarkan sahaja si kecil bermain dan membakar tenaga dengan melakukan aktiviti kegemaran seperti berlari keliling taman pada siang hari.

Langkah ini boleh membantu mereka untuk tidur dengan lebih mudah.

image is not available
Foto: Freepik

#3 Elakkan Bermain Gajet Atau Peranti Sebelum Tidur

Jika dilihat, pada masa kini gajet atau peranti seperti telefon pintar seolah-olah sudah jadi benda wajib ada yang dimiliki oleh setiap individu.

Tidak kiralah si besar atau kecil, seakan sudah menjadi kebiasaan pula perlu menggunakannya sebelum tidur.

Tahukah anda, bermain telefon bimbit boleh mengganggu tidur dek kerana cahaya dari alat elektronik menyekat pengeluaran semula jadi melatonin.

Oleh itu, elakkan si kecil daripada bermain telefon bimbit sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur.

Sebaiknya, tutup peranti pada waktu malam dan ibu bapa perlu memastikan anak tidak membawa peranti atau sebarang gajet berskrin di dalam bilik tidur, memetik National Library of Medicine.

image is not available
Foto: Freepik

#4 Cipta Ruang Tidur Yang Selesa

Cipta ruang tidur yang selesa untuk anak boleh membantu mendapatkan ‘mood’ mereka untuk tidur.

Jika si kecil ada bantal, selimut atau teddy bear kegemaran, biarkan sahaja bahan-bahan ini tidur bersama mereka.

Bila objek kesayangan ada di sisi, proses hendak melelapkan mata pun boleh menjadi lebih mudah.

Jika anak takut bergelap, mungkin boleh gunakan lampu malam (night light) sebagai penguat semangat mereka.

Namun, jika boleh dikawal, lebih baik untuk tidak digunakan. Jika masih perlu menggunakannya, pilih lampu yang paling malap atau berwarna kejinggaan.

Elak lampu berwarna biru, hijau ataupun putih. Sebaiknya lampu tidak boleh diletakkan terlalu dekat dengan si kecil, lapor Baby Sleep Science.

image is not available
Foto: Freepik

#4 Cipta Bonding Dengan Anak Sebelum Tidur

Ada sesetengah kanak-kanak akan berasa takut atau risau lebih-lebih lagi jika terpaksa tidur seorang diri.

Ini sekaligus boleh menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk tidur.

Langkah mudah yang boleh dibuat oleh ibu bapa adalah dengan mencipta bonding bersama anak seperti membacakan buku cerita, mendengar lagu atau berbual serta menenangkan mereka.

Langkah ini boleh membantu si kecil merasa lebih selesa dan tidak takut sekiranya menutup mata.

image is not available
Foto: Freepik

#5 Beri Ganjaran Kepada Anak Atas Kejayaan Berjaya Tidur

Jika semua cara tidurkan anak tidak menemui penyelesaian, langkah ini adalah antara cara yang terbaik untuk melatih anak mencipta rutin tidur mereka.

Memetik Hello Doktor, mulakan dengan carta pelekat atau berikan mereka ‘bintang emas’ setiap kali mereka berjaya tidur tanpa masalah.

Jika mahu menggalakkan lagi atau buat mereka rasa seronok untuk tidur, berikan ganjaran yang lebih besar.

Pastinya lama-lama mereka akan terbiasa dengan rutin dan waktu tidur yang ditetapkan.

image is not available
Foto: Freepik

Kesimpulannya, hendak tidurkan anak mengikut rutin memang bukan mudah tapi sebagai ibu bapa, kita perlu berusaha dan bersabar dengan karenah mereka.

Lama-lama, hasilnya nanti pasti mereka akan terbiasa dan boleh tidur dengan sendirinya.

Source: