
KUALA LUMPUR – Anak sulung kepada pelakon tempatan, Amyza Aznan, dilaporkan meninggal dunia pada malam Isnin.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan sendiri oleh Amyza menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya.
“Assalammualaikum, dengan dukacita anak saya Andre Mikhail Bin Khairil Izhar telah pulang ke negeri yang abadi.
“Minta semua sedekahkan Al-Fatihah kepada anak saya,” tulisnya ringkas namun penuh hiba.
Disahkan Kanser Paru-Paru, Keadaan Semakin Meruncing
Sebelum ini, Amyza pernah berkongsi bahawa Allahyarham Andre Mikhail disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga pada 15 Februari tahun lalu. Menurutnya, keadaan kesihatan anaknya ketika itu semakin meruncing apabila cecair dari paru-paru memasuki bahagian jantung, selain paru-paru sebelah kanan dilaporkan telah ‘collapse’.
“Anak saya diagnosis kanser paru-paru tahap 3. Air dari paru-paru dah masuk ke jantung, kemudian paru-paru belah kanan dah collapse.
“Ketika ditolak ke ICU untuk prosedur, dia sangat tenang dan semua jururawat cakap dia sangat tenang… Allah,” katanya dalam satu perkongsian terdahulu.
Terdahulu, Amyza turut memohon doa orang ramai agar urusan rawatan anaknya dipermudahkan. Malah, beliau juga pernah meminta pandangan serta maklumat berhubung rawatan alternatif yang mungkin dapat membantu keadaan Andre.
Dalam luahan yang menyentuh hati, Amyza turut menyatakan rasa kecewa apabila mendakwa diberi harapan palsu selama hampir setahun sepanjang proses rawatan berlangsung. Malah, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk membawa anaknya keluar dari hospital.
Pemergian Andre Mikhail nyata meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah para pengikut dan rakan selebriti yang mengikuti perkembangan kesihatannya sebelum ini.
Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Anak Sulung Amyza Aznan Meninggal Dunia, “Minta Sedekahkan Al-Fatihah Buat Anak Saya” appeared first on The Malaysian Update.


