SHAH ALAM – Anak sulung bekas wartawan penyiaran Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Datuk Karam Singh Walia, Sharonjit Kaur meninggal dunia pada Rabu.
Pemergian pensyarah di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson berusia 43 tahun itu berlaku kira-kira 38 hari selepas bapanya meninggal dunia akibat barah hati pada 6 April lalu.
Berita tersebut dikongsikan menerusi media sosial rasmi politeknik berkenaan.
"Hari ini warga Politeknik Premier Port Dickson amat berdukacita atas pemergian sahabat dan rakan sekerja kami, Puan Sharonjit Kaur a/p Karam Singh, pensyarah di Jabatan Pengajian Am.
"Seluruh warga institusi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan yang amat perit ini.
"Jasa, dedikasi dan kenangan bersama beliau akan sentiasa terpahat dalam ingatan," kata perkongsian berkenaan.
Terdahulu, Sharonjit dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya.
