liza02/11/2026 - 17:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Reservoir Link Energy Bhd menerusi anak syarikat milik 60% kepentingannya, Reservoir Link Solutions Sdn Bhd (RLS) dilantik sebagai panel kontraktor PETRONAS Research Sdn Bhd (PRSB) bagi pelaksanaan teknologi bahan kimia untuk tempoh tiga tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Reservoir Link berkata RLS menerima surat pelantikan (LOA) daripada PRSB pada 11 September 2026 melibatkan tiga pakej kerja berkaitan pembekalan bahan mentah, pengadunan bahan kimia serta pelaksanaan keseluruhan teknologi bahan kimia di tapak.
Pelantikan itu berkuat kuasa pada 11 September 2026 hingga 10 September 2029 dengan PRSB mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh berkenaan selama dua tahun lagi menerusi notis bertulis 30 hari sebelum tamat tempoh pelantikan.
Tiga pakej perkhidmatan bahan kimia
Pakej pertama merangkumi pembekalan bahan mentah bagi teknologi bahan kimia, termasuk perolehan bahan, pemeriksaan dan kawalan kualiti, pembungkusan semula serta pelabelan mengikut keperluan PRSB.
Syarikat itu berkata skop kerja tersebut turut melibatkan penyimpanan dan penghantaran bahan kimia ke lokasi ditetapkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, selain penyediaan dokumentasi teknikal serta helaian data keselamatan (SDS) mengikut keperluan PETRONAS.
“Pakej kedua pula melibatkan penyediaan kemudahan pengadunan bahan kimia dan penyimpanan, termasuk ujian makmal bagi menilai prestasi serta keserasian bahan kimia sebelum kerja dilaksanakan.
“RLS juga bertanggungjawab memastikan pengeluaran bahan kimia boleh ditingkatkan sekiranya diperlukan, selain menguruskan sisa dan pelupusan mengikut keperluan PETRONAS serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan peraturan kerajaan.
“Bagi pakej ketiga, skop kerja merangkumi pelaksanaan keseluruhan teknologi bahan kimia di tapak, termasuk penilaian lokasi, pengadunan dan suntikan bahan kimia serta pemantauan prestasi teknologi,” katanya dalam makluman tersebut.
Kerja berkenaan turut merangkumi pengambilan sampel, analisis, penyelesaian masalah teknikal, pelaporan dan pemantauan masa nyata menggunakan teknologi seperti sensor serta Internet Benda (IoT).
Tiada nilai kontrak tetap
Reservoir Link berkata pelantikan berkenaan tidak mempunyai nilai kontrak tetap kerana jumlah pendapatan bergantung pada arahan kerja yang diberikan kepada RLS sepanjang tempoh pelantikan.
Pelantikan itu juga tidak menjamin sebarang arahan kerja kepada RLS, yang mungkin dipelawa menyertai proses bidaan kecil atau perolehan terus bersama kontraktor panel lain.
Dari segi kewangan, pelantikan itu tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama Reservoir Link, selain tidak dijangka memberi kesan material kepada aset bersih sesaham dan tahap gearing kumpulan. - DagangNews.com




