Kontraktor baharu akan dilantik siapkan Hospital Papar yang tertangguh hampir 6 tahun

LocalHealth & Fitness
5 Oct 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontraktor baharu akan dilantik siapkan Hospital Papar yang tertangguh hampir 6 tahun Image from: Kontraktor baharu akan dilantik siapkan Hospital Papar yang tertangguh hampir 6 tahun liza05/10/2026 - 17:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt – Kontraktor baharu akan dilantik bagi meneruskan projek naik taraf Hospital Papar, Sabah yang tertangguh selama 2,108 hari selepas kontrak dengan kontraktor asal ditamatkan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen, Suhaizan Kaiat berkata pelantikan kontraktor baharu akan dibuat menerusi proses tender baharu susulan kelewatan berpanjangan projek berkenaan.

 

“Projek itu telah diberikan 11 kali lanjutan masa berjumlah 2,108 hari,” katanya ketika membentangkan laporan lawatan kerja jawatankuasa ke fasiliti kesihatan di Sabah di Dewan Rakyat hari ini.

 

Permintaan kesihatan meningkat, kapasiti masih terhad

Suhaizan berkata, kelewatan projek itu antara isu yang dikenal pasti ketika jawatankuasa berkenaan mengadakan lawatan kerja ke fasiliti kesihatan di Kota Kinabalu, Putatan dan Papar dari 17 hingga 21 Ogos lalu.

 

Beliau berkata, peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di Sabah masih belum seiring dengan pertambahan kapasiti fasiliti kesihatan di negeri itu.

 

Antara cabaran yang dikenal pasti termasuk kekurangan tenaga kerja kesihatan, keadaan fasiliti dan infrastruktur, keperluan aset serta peralatan, kesesakan dan ketidakpadanan antara kapasiti dengan peningkatan permintaan.

 

Hospital Queen Elizabeth (HQE) sebagai hospital utama dan pusat rujukan Sabah turut memerlukan peningkatan kapasiti, sumber manusia, aset serta kemudahan sokongan sejajar dengan peningkatan beban kerja dan skop perkhidmatan.

 

Kota Kinabalu catat 83,070 kunjungan pesakit pergigian

Bagi perkhidmatan pergigian pula, Suhaizan berkata kapasiti fasiliti, pengagihan perkhidmatan dan tenaga kerja masih tidak mencukupi di beberapa kawasan.

 

Beliau berkata Kota Kinabalu merekodkan 83,070 kunjungan pesakit pada 2025 walaupun hanya mempunyai 11 kerusi pergigian, selain berdepan kekosongan kakitangan yang ketara.

 

Katanya, cabaran sumber manusia bukan hanya melibatkan jumlah jawatan yang diluluskan, tetapi turut merangkumi tahap pengisian, pengagihan tenaga kerja, pembangunan pakar dan usaha mengekalkan tenaga kesihatan mengikut kapasiti serta beban kerja.

 

“Jawatankuasa turut mengambil maklum bahawa kekurangan tenaga pakar serta kekangan dalam latihan kepakaran dan subkepakaran boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

 

12 cadangan untuk perbaiki fasiliti kesihatan

Susulan lawatan tersebut, jawatankuasa mengemukakan 12 cadangan termasuk penambahbaikan, naik taraf, penyelenggaraan dan penggantian aset serta menangani kekangan berkaitan kemudahan sokongan.

 

Antara cadangan itu ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya, memberi keutamaan kepada kerja pembaikan, naik taraf, penyelenggaraan serta penggantian aset dan peralatan kritikal berdasarkan keperluan operasi dan keselamatan.

 

Jawatankuasa turut mencadangkan KKM bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi memperkukuh pengambilan, penambahan serta pengagihan tenaga kerja kesihatan dan pembangunan kepakaran berdasarkan kapasiti fasiliti, beban kerja serta keperluan perkhidmatan.

 

KKM dan JPA juga disaran meneliti peluang latihan kepakaran dan subkepakaran, keperluan berkaitan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan, perkembangan kerjaya serta mekanisme mengekalkan tenaga kesihatan, khususnya dalam bidang dan kawasan yang mengalami kekurangan kakitangan.

 

Suhaizan berkata KKM juga perlu memperkukuh pendigitalan perkhidmatan kesihatan menerusi penyediaan dan naik taraf sistem, perkakasan, rangkaian serta infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang bersesuaian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved