KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Anak perempuan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, iaitu Asnida, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan harta membabitkan pegangan saham di lima syarikat, tiga tahun lalu.
Asnida, 65, yang memakai baju dan berselendang biru gelap, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
"(Tidak bersalah) Minta bicara," katanya ringkas.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis tersebut telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta yang membabitkan pegangan saham di lima syarikat.
Ia membabitkan syarikat Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, manakala tertuduh diwakili peguam, Profesor Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Semasa prosiding, Mahadi mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
Menurutnya, jumlah jaminan berkenaan munasabah dengan mengambil kira kes tersebut termasuk dalam kategori kes yang tidak boleh dijamin.
“Termasuk syarat tambahan, pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Dia kerap ke luar negara, jadi syarat berkenaan perlu dikenakan bagi mengawal pergerakannya,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Gurdial memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000.
Katanya, pegangan saham yang tidak dijelaskan kepada SPRM itu adalah kerana syarikat berkaitan tidak aktif selain dalam proses penggulungan.
“Kami bantah syarat tambahan berkenaan kerana anak guam sememangnya kerap ke luar negara untuk menjalankan urusan lain,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan Asnida diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 21 Mei depan.

